PETALING JAYA: Ringgit dijangka sedikit mengukuh pada minggu ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), seiring dengan pergerakan mata wang utama lain termasuk negara di Asia Tenggara, kata penganalisis.
Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka tidak banyak berubah berikutan kekurangan transaksi pada akhir tahun.
Katanya, bursa dijangka didagangkan dalam jumlah dan julat sederhana berikutan ramai yang masih bercuti hingga akhir tahun.
“Diunjurkan berlaku juga window-dressing dalam usaha para pelabur dan pengurus dana untuk mengemaskini portfolio pelaburan bagi menutup 2023 mengikut strategi masing-masing.
“Bagi tahun hadapan, sekiranya tidak berlaku sebarang kes geopolitik yang besar atau menularnya jangkitan virus baharu, pasaran kewangan dijangka akan meningkat sejajar dengan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menurunkan kadar faedah.
“Ini kerana, negara itu telah berjaya menurunkan kadar inflasinya dan merangsangkan kembali ekonomi AS yang dijangka meleset pada tahun 2024,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Aimi Zulhazmi berkata, ringgit diunjurkan terus mengukuh menghampiri RM4.50 berbanding dolar AS pada 2024, bergantung kepada tiada sebarang peristiwa besar seperti krisis geopolitik yang baharu atau kes Covid-19 sekarang menular kepada tahap lebih serius.
“Ini kerana, faktor-faktor tersebut boleh merubah lagi trajektori ekonomi dunia yang pasti mempengaruhi ekonomi Malaysia juga,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, ringgit dijangka mengukuh pada tahun hadapan sehingga mencecah bawah RM4 menjelang akhir 2024 berbanding dolar AS.
“Ini mungkin disebabkan pertumbuhan dua ekonomi gergasi dunia iaitu AS dan China. Kadar inflasi mungkin akan kekal pada kadar sekarang dan tiada kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR),” jelasnya.
Tambah beliau, pertumbuhan Bursa Malaysia pula dijangka akan meningkat hingga dua peratus dan pendapatan meningkat pada empat peratus dalam 2024.
“Sektor kewangan dijangka akan mendahului lain-lain sektor. Nilai purata harian jangka RM2.4 bilion,” katanya.-UTUSAN










