Perubahan kurikulum agenda rakyat, bukan parti

Perubahan kurikulum agenda rakyat, bukan parti

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BERIKUTAN pelbagai desakan oleh pemimpin DAP yang dilihat tidak sabar melakukan perubahan setelah genap setahun kerajaan perpaduan memerintah, wujud kebimbangan parti itu juga sedang campur tangan dalam penggubalan Kurikulum Persekolahan 2027 yang sedang berlangsung.

Ketika dengan tegas menolak tanggapan salah itu, Menteri Pendidikan, FADHLINA SIDEK menjelaskan perubahan kurikulum tersebut dan dasar-dasar pendidikan baharu lain akan dibuat berdasarkan input daripada rakyat, tidak akan dilakukan dengan tergopoh-gapah dan tidak akan menjejaskan kesejahteraan orang ramai.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan NIZAM YATIM serta jurugambar FAISOL MUSTAFA di Putrajaya baru-baru ini, beliau sempat berseloroh dengan menyatakan timbalannya dari DAP, Wong Kah Woh mempunyai fikrah (pemikiran) yang sama kerana kedua-dua mereka adalah lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

SAYA sedar ada pihak yang bertanya kenapa Kurikulum Persekolahan 2027 lambat lagi hendak dilaksanakan dan mereka juga bimbang ia tidak menjadi kenyataan jika berlaku pertukaran kerajaan kerana pada tahun itu akan diadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Apa yang saya mahu nyatakan adalah sasaran tahun pelaksanaan kurikulum baharu ini tidak akan berubah sebab kurikulum kita ini adalah berdasarkan kitaran. Setiap 10 tahun, kurikulum pendidikan di negara ini akan diperbaharui. Kurikulum yang ada sekarang adalah dari tahun 2017.

Jadi, yang saya nak tekankan adalah proses (penggubalan) kurikulum ini bukan mudah. Pertama, perlu mengikut kitaran. Kedua, penggubalan itu sendiri, prosesnya mengambil masa kerana kita kena latih guru. Juga yang paling penting adalah bagaimana penguasaan guru selepas proses latihan itu sebelum ia dilaksanakan di sekolah.

Jadi, memang ia akan ambil masa. Jadi, sebab apa 2027 dan kenapa bukan 2024, 2025 dan 2026 adalah kerana kita sedang menulis, menggubal dan menyediakan latihan untuk guru berdasarkan kitaran itu. Namun demikian, untuk prasekolah kita akan mulakan awal pada 2026. Jadi, tukar kerajaan atau kekal, ia tetap dilaksanakan mengikut kitaran itu.

RAKYAT TERLIBAT GUBAL KURIKULUM

Terdapat juga kebimbangan kurikulum pendidikan akan diubah sewenang-wenangnya oleh orang politik. Saya melihat begini, bila kita berada dalam kerajaan, ini iltizam (keterlibatan secara bersungguh-sungguh) politik untuk membuat perubahan ini penting.

Tambahan pula kita sedang diterajui oleh seorang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang datang daripada latar belakang reformasi. Soal membuat perubahan itu, ia tidak boleh tergopoh-gapah dan ia mengambil masa. Apatah lagi untuk menyediakan rakyat bagaimana perubahan itu harus berlaku.

Bagi saya, iltizam kita adalah untuk memastikan rakyat terus dibela dan kesejahteraan mereka terus diberi tumpuan, maka iltizam ke arah itu sangat penting. Dalam masa sama, kita harus terus diperingatkan bagaimana menyediakan rakyat, mendidik mereka tentang polisi-polisi yang baik ini sangat penting dan kerajaan kena berkomunikasi dengan mereka.

Dalam konteks pendidikan ini, bila kita sebut Kurikulum Persekolahan 2027, kita buat itu secara besar-besaran memperkenalkan kerangka itu dengan hashtag #kurikulumkita kerana kita nak libatkan rakyat untuk sama-sama membina kurikulum ini.

Dan ia akan diikuti dengan jerayawara (persembahan, pameran dan ceramah) yang memang penting untuk kita mengumpulkan semua pandangan dan sumbang saran rakyat. Kita hendak #kurikulumkita ini benar-benar diterajui bersama oleh rakyat.

Antara kandungan utama kurikulum baharu ini adalah pendidikan karakter. Jadi, rakyat boleh meyumbang kepada pendidikan karakter itu. Mungkin ekosistem itu akan terbina dengan kefahaman dan keyakinan rakyat kepada #kurikulumkita khususnya tentang pendidikan karakter.

Mungkin rakyat tak semua boleh menguasai pedagogi (kaedah dan prinsip pengajaran) sebab mereka yang dilatih di dalam pendidikan sahaja yang faham, tetapi pendidikan karakter ini semua orang boleh bagi pandangan, bagi input dan bagaimana nak bina ekosistem.

Dan kita tak boleh laksanakan pendidikan karakter ini tanpa ekosistem yang melibatkan ibu bapa, masyarakat dan komuniti. Jadi, bagi saya iltizam politik itu penting dan dalam masa sama dasar ini mesti dipandu dengan cermat dan melibatkan kefahaman rakyat.

TIADA TEKANAN DARIPADA DAP

Saya tidak fikir (ada) tekanan. Saya fikir ia adalah gabungan yang sangat baik, sinergi, kerana kami dan DAP sudah lama bekerjasama dan diperkukuhkan lagi dalam kerajaan perpaduan ini. Setakat ini (tiada desakan ikut agenda DAP) kerana di Kementerian Pendidikan (KPM), kita berpegang kepada agenda pendidikan untuk semua. Jadi, kita lihat kepada untuk mengukuhkan semua aspek pendidikan.

GENG UIAM

Ada orang kata wujud Geng UIAM dalam Kabinet apabila saya dan timbalan (Kah Woh) adalah lulusan daripada universiti itu. Begitu juga Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan beberapa yang lain.

Saya fikir ini barangkali fikrah itu (sama). Saya ingat itu memudahkan juga dalam banyak benda kerana di UIAM itu dia ada konsep yang kita gelar sebagai taman ilmu dan budi. Jadi, kami sangat percaya bahawa konsep itu benar-benar perlu diangkat dalam konteks hari ini.

Kebetulan juga bila dari UIAM ini kita memang mempunyai worldview (pandangan dunia) yang sangat luas. Jadi, kita tidak hanya melihat sesuatu kerangka dari sudut yang sempit.

MURID MAHU KESERONOKAN BELAJAR

Berbalik kepada Kurikulum Persekolahan 2027, kita melihat pemegang taruh kita bukan sahaja guru dan ibu bapa tetapi yang paling penting adalah anak-anak kita. Kita ada lima juta kanak-kanak dan setiap suara mereka adalah sangat penting.

Maknanya (input) ini adalah berdasarkan apa yang kita dapat apabila kita turun ke sekolah dan kita tanya sendiri kepada murid dan pelajar. Dan memang saya pun bila turun saya memang galakkan anak-anak murid dan pelajar kita untuk terus menyuarakan kepada saya apa yang mereka mahu dalam konteks pendidikan.

Input tentang kurikulum baharu ini, yang mereka nak adalah seronok ke sekolah, mereka nak keseronokan belajar dan keseronokan bermain. Inilah yang kita tekankan dalam Kurikulum Persekolahan 2027. Ini kita akan betul-betul fokus semasa mereka di prasekolah dan tahap satu (tahun satu dan dua di sekolah rendah). Ketika tahap satu kita memberi murid ruang untuk mereka bermain dan pada masa sama kita memberi tumpuan kepada penguasaan literasi dan numerasi serta pembentukan karakter.

Ketika itulah umur yang sangat baik untuk membina karakter yang baik, nilai-nilai yang teguh dan juga maknanya dari segi yang kita sebut sebagai nilai insani itu. Pendidikan karakter itu ada dalam semua peringkat termasuk tahap dua (tahun tiga dan empat) dan tahap tiga (tahun lima dan enam).

HENTIKAN DESAKAN KEMBALIKAN UPSR

Mengenai isu ada pihak yang mahukan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diadakan semula, mereka harus faham. Pertamanya, mengapa kita ambil keputusan untuk hapuskan UPSR itu adalah kerana kita nak beralih daripada konsep pendidikan berorientasikan peperiksaan kepada pentaksiran yang lebih holistik.

Kerana kita nak balik kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan tentang pembangunan anak kita ini secara holistik dari segi jasmani, emosi, rohani dan juga aspek-aspek lain.

Yang kedua, selama ini UPSR tidak memberikan keadilan kepada anak-anak kita kerana mereka diukur dengan berapa banyak mendapat A dalam peperiksaan. Sedangkan pentaksiran ini sepatutnya melihat secara holistik anak-anak kita, potensi dia dalam pelbagai bidang termasuk sukan dan seni. Jadi, tidak ada anak-anak yang dibezakan berdasarkan bilangan A yang mereka dapat.

Jadi, sekarang kita sudah ada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang dilakukan secara konsisten. Tidak pernah terjadi dalam sejarah pendidikan, pentaksiran ini berlaku secara konsisten. Anak kita ini akan ditaksir ansur majunya sehingga mereka sampai ke sekolah menengah.

Jadi, pentaksiran ini penting untuk ibu bapa dan guru melihat kompetensi anak-anak ini. Jadi, pentaksiran ini akan disambut dengan Kurikulum Persekolahan 2027 yang akan sekali lagi memberikan penekanan kepada pembangunan karakter itu. Akhirnya, kita nak anak-anak kita diraikan dalam semua aspek.

Kepada pihak-pihak yang mendesak supaya UPSR dikembalikan. Saya minta mereka fahami dulu pentaksiran di peringkat sekolah itu. Beri ruang kepada anak-anak kita untuk mendapatkan dan meningkatkan potensi mereka berdasarkan pentaksiran yang holistik ini dan fahami balik Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang melihat kepada potensi keseluruhan anak-anak kita.

PERSEDIAAN LAKSANA KURIKULUM BAHARU

Sekarang ini tumpuan kita adalah memberikan latihan kepada guru tentang bagaimana nak buat pentaksiran itu supaya ia tidak dipertikaikan. Pentaksiran ini adalah satu lagi komitmen negara kita kepada Deklarasi Incheon, iaitu satu deklarasi pendidikan oleh jawatankuasa pendidikan dunia yang memberi tumpuan kepada pendidikan yang bersifat inklusif dan saksama.

Inklusif ini penting kerana anak-anak kita ada beberapa segmen. Kita ada anak keperluan khas, anak-anak tanpa dokumen, kita ada anak-anak dalam penjara dan ada anak-anak di hospital. Jadi, semua mereka mesti diberikan kurikulum pendidikan yang sifatnya harus meraikan semua.

Sebab itu bila di KPM ini, kita kata akan beri tumpuan kepada pendidikan manusiawi ini kerana kita tahu anak-anak kita tidak sama. Kesenjangan itu akan lebih luas kalau kita tak rapatkan dengan satu sistem pendidikan yang boleh menilai semua anak dalam semua keadaan.

UPSR ini kita lihat ia tidak menilai semua sebaliknya berorientasikan peperiksaan dan melihat kepada berapa A murid dapat. Ini tidak adil untuk semua anak sedangkan mereka mempunyai potensi yang sangat tinggi.

SEKOLAH TIDAK PAKAI RANKING

Dalam konteks pendidikan inklusif ini, kita di KPM memberi tumpuan kepada semua sekolah dan bukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sahaja. Sebab itu saya tak sebut tentang ranking, saya tak sebut sekolah kluster cemerlang.

Sebab bagi saya setiap sekolah mempunyai potensi dan kita masih bagi tumpuan kepada murid dan pelajar ini di mana sahaja mereka berada.

SALAH JIKA ANGGAP PKR TANDUS PEMIMPIN PELAPIS

MENGENAI pemimpin pelapis dalam PKR, saya ingat Datuk Seri Anwar Ibrahim ini ialah seorang pemimpin yang sentiasa memberikan ruang dan cabaran kepada orang muda. Apabila kita bercakap tentang kepimpinan dalam parti ini, saya tidak terkecuali termasuk dalam kalangan orang yang dilemparkannya.

Maknanya diasuh untuk mengharungi cabaran itu bermula daripada saya dilantik sebagai Senator (pada 2021) dan kemudian bertanding di Parlimen Nibong Tebal pada PRU15 dan seterusnya diberikan amanah untuk menerajui KPM.

Cabaran yang diberi dan dicampakkan kepada kami itu harus disambut dengan segera dan ia adalah untuk menunjukkan bahawa PKR tidak pernah putus daripada lapisan pimpinan dan hari ini kita lihat dalam jemaah menteri pun, disusun dengan cukup baik. Maknanya ada Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan dua Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Chang Lih Kang, saya sebagai Ketua Wanita serta Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PKR, Dr. Zaliha Mustafa.

Ini semua saya ingat adalah bakal pimpinan pelapis yang dipersiapkan oleh Presiden PKR bukan sahaja untuk memimpin parti tetapi juga untuk memimpin negara pada masa hadapan.

PEMIMPIN WANITA ADA PELUANG

Pertama, PKR adalah parti yang memang sentiasa mengangkat wanita. Kedua, ia adalah parti yang membuka ruang kepada semua dan yang ketiga, maknanya ada ruang untuk terus naik.

Sekarang Naib Presiden memang sudah ada dua wanita (Nurul Izzah Anwar dan Saraswathy Kandasami). Kalau saudara kata kemungkinan (akan ada) Timbalan Presiden wanita, itu juga tidak mustahil dan ia akan berlangsung dengan begitu harmoni.

YAKIN TERUS MEMERINTAH

Setiap hari kita semakin yakin (terus memerintah) dan itulah keyakinan yang kita kena berikan terus kepada rakyat dan juga kepada para pegawai. Ugutan dikeluarkan oleh pembangkang (untuk tukar kerajaan) ini dibuat setiap bulan, hatta Disember ini pun mereka kata kerajaan ini akan tumbang, tetapi saya tidak fikir ia begitu mudah.

Apatah lagi dengan kukuhnya kerajaan hari ini di Parlimen berikutan sokongan yang telah pun berpindah banyak dalam kalangan wakil rakyat pembangkang kepada kerajaan.

Yang kita perlu perkukuhkan hari ini adalah dasar-dasar untuk membawa negara ini kepada keadaan yang lebih baik. Ekonominya kena lebih baik, pendidikan kena bermutu dan berkualiti, kemudahan kesihatannya kena ditambah baik dan kesejahteraan rakyat mesti diberikan tumpuan.

Jadi, kalau itu kita boleh bagikan tumpuan kepada perkara-perkara terbabit untuk tempoh empat tahun akan datang, saya ingat kerajaan ini akan terus kukuh dan kekal sehingga habis penggal dan insya-Allah, kita akan terus memimpin lagi sekiranya diberi mandat oleh rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×