PETALING JAYA: Inflasi Malaysia yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna (IHP), meningkat 1.5 peratus tahun ke tahun pada November, kadar paling perlahan sejak Februari 2021, menurut laporan Jabatan Perangkaan (DOSM).
Inflasi teras, tidak termasuk barangan makanan segar yang tidak menentu serta harga barangan yang dikawal oleh kerajaan, berada pada 2.0 peratus pada November, terendah sejak Februari 2022.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, peningkatan inflasi didorong oleh peningkatan perlahan untuk restoran dan hotel sebanyak 4.3 peratus berbanding 4.6 peratus bulan sebelumnya; makanan dan minuman bukan alkohol (2.6 peratus, Oktober:3.6 peratus) dan kesihatan (2.3 peratus, Oktober: 2.4 peratus).
Beliau berkata, beberapa kumpulan utama lain yang menunjukkan peningkatan ialah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain sebanyak 1.7 peratus (Oktober:1.6 peratus) dan pengangkutan pada 0.1 peratus (Oktober:0.0 peratus).
“Komponen makanan di rumah meningkat 1.4 peratus berbanding 2.1 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya. Sementara itu, komponen makanan di luar rumah mereda kepada 3.9 peratus berbanding 5.6 peratus yang direkodkan pada Oktober 2023,” katanya dalam kenyataan
Mohd. Uzir berkata, antara item yang meningkat lebih rendah pada November 2023 adalah ayam goreng disebabkan oleh kesan strategi promosi oleh industri rangkaian makanan segera.
Mengenai inflasi di peringkat negeri, beliau berkata, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional iaitu 1.5 peratus.
Walau bagaimanapun, lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.3 peratus), Sarawak (2.0 peratus), Perak (1.9 peratus), Pulau Pinang (1.8 peratus) dan Selangor (1.7 peratus).
Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman bukan alkohol dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pulau Pinang (3.7 peratus), Sarawak (3.6 peratus), Selangor (3.5 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (3.4 peratus) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.0 peratus).
Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman bukan alkohol nasional iaitu 2.6 peratus pada November 2023.
“Inflasi keseluruhan secara bulanan menunjukkan tiada perubahan pada November 2023 berbanding Oktober 2023 (0.1 peratus),” kata beliau.
Beliau berkata, bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berbanding Filipina (4.1 peratus), Vietnam (3.5 peratus), Republik Korea (3.3 peratus) dan Indonesia (2.9 peratus).
Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (-0.4 peratus) dan China (-0.5 peratus), katanya. – UTUSAN










