PETALING JAYA: Eksport Malaysia pada November 2023 susut 5.9 peratus atau RM7.6 bilion kepada RM122.2 bilion didorong terutamanya oleh pengurangan eksport barangan elektrik dan elektronik, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport domestik bernilai RM95.9 bilion yang menyumbang 78.5 peratus kepada jumlah eksport, berkurang 7.4 peratus.
Manakala, eksport semula berjumlah RM26.2 bilion, menokok secara marginal 0.1 peratus berbanding November 2022. Import November 2023 pula bernilai RM109.7 bilion, meningkat 1.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas.
Beliau berkata, 125 daripada 257 kumpulan barangan eksport menunjukkan penurunan, manakala 146 daripada 258 kumpulan barangan import meningkat berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Katanya, eksport yang lebih rendah disumbangkan oleh penurunan terutamanya ke Singapura (-RM3.7 bilion) diikuti Jepun (-RM1.6 bilion), China (-RM1.6 bilion), Hong Kong (-RM1.2 bilion) dan Amerika Syarikat (-RM1.2 bilion).
“Sementara itu, peningkatan import terutamanya disumbangkan dari Singapura (+RM2.4 bilion) diikuti Arab Saudi (+RM1.4 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.0 bilion) dan Thailand (+RM545.7 juta,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut mengenai eksport, Mohd. Uzir berkata, penyusutan selaras dengan pengurangan eksport barangan elektrik & elektronik (-RM7.3 bilion); kimia & bahan kimia (-RM1.1 bilion); dan kelengkapan pengangkutan (-RM1.0 bilion).
Sementara itu, pertambahan import dicatatkan bagi kelengkapan pengangkutan (+RM1.8 bilion); petroleum mentah (+RM1.1 bilion); dan keluaran petroleum (+RM774.4 juta).
Katanya, pertambahan import mengikut Penggunaan Akhir seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan modal dan barangan penggunaan. Import barangan modal bernilai RM14.9 bilion, berkembang 53.3 peratus berbanding November 2022, merangkumi 13.6 peratus daripada jumlah import.
“Barangan penggunaan (8.9 peratus daripada jumlah import) menokok 2.2 peratus daripada RM9.5 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM9.7 bilion. Barangan perantaraan (51.2 peratus daripada jumlah import) bernilai RM56.2 bilion, mencatatkan kemerosotan 5.2 peratus atau RM3.1 bilion,” katanya.
Sementara itu, katanya, lebihan dagangan dengan jumlah RM12.4 bilion merupakan lebihan dagangan ke-43 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
“Di samping itu, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan bagi tempoh Januari hingga November 2023 kembali mencatatkan penurunan.
“Jumlah dagangan jatuh 7.5 peratus, dari RM2.6 trilion kepada RM2.4 trillion, sejajar dengan penyusutan eksport (-7.8 peratus) serta import (-7.1 peratus). Pada masa yang sama, lebihan dagangan merosot 11.3 peratus bagi mencatatkan nilai RM202.5 bilion,” jelasnya. – UTUSAN










