PETALING JAYA: Kira-kira 74 peratus kanak-kanak dan remaja di Malaysia yang melangkau sarapan pagi boleh mengalami masalah obesiti.
Pensyarah kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, apabila kanak-kanak berkenaan tidak mengambil sarapan pagi, mereka cenderung mengambil makanan secara berlebihan terutama makanan ringan bagi mengisi perut yang lapar.
Katanya, jika perkara ini sudah menjadi amalan harian kanak-kanak tersebut dan tidak dikawal oleh penjaga, ia mendorong mereka ke arah kegemukan.
“Isu yang berkaitan dengan pengambilan makanan secara berlebihan ini adalah berkaitan dengan tabiat seseorang itu sendiri.
“Jadi pemakanan yang sihat sepatutnya bermula dari rumah yang mana ibu bapa perlu mempunyai kesedaran tentang kepentinga pengambilan nutrisi yang lengkap terhadap anak mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berdasarkan kajian terkini Kementerian Kesihatan (KKM), tujuh daripada 10 kanak-kanak di negara ini didapati tidak bersarapan pagi.
Justeru, Anuar mencadangkan kerajaan menyediakan inisiatif bagi menggalakkan lagi kanak-kanak supaya sentiasa mengambil sarapan.
“Kita kena ada satu program sarapan pagi sihat untuk murid-murid sekolah, terutama bagi kanak-kanak yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun kerana pada peringkat umur itu tumbesaran memerlukan keperluan makanan yang sihat.
“Jika kerajaan tidak dapat melaksanakan inisiatif tersebut kepada hampir semua pelajar di negara ini sehingga ke tingkatan lima, maka saya melihat memadai untuk keadaan ini dengan hanya menyediakan sarapan pagi secara percuma di prasekolah dan sekolah rendah,” jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah Program Sains Pemakanan Pusat Kajian Kesihatan Komuniti, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ruzita Abd. Talib berkata, ibu bapa sepatutnya memastikan anak-anak mereka mengambil sarapan kerana ia adalah waktu makan yang paling penting dalam sehari sebelum memulakan rutin harian.
“Sebagai penjaga perlu memainkan tanggungjawab dalam mengawal diet makanan termasuk kesediaan juadah terhadap mereka.
.
“Misalnya, ibu bapa hendaklah menyediakan sekurang-kurang dua sajian buah dan tiga sajian sayur-sayuran hijau dalam sehari.
“Selain itu, kurangkan penggunaan minyak dan santan dalam masakan serta amalkan proses penyediaaan makanan yang sihat seperti menggunakan teknik mengukus atau membakar,” katanya.
Tambahnya, menggunakan model Pinggan Sihat Malaysia iaitu nasi dan lauk diambil suku pinggan dan sayur serta buah-buahan setengah daripada pinggan, boleh membantu dalam mendapat makanan seimbang yang mencukupi.
Dalam pada itu, katanya, ketagihan minum minuman manis yang dilihat semakin menjadi-jadi dalam kalangan kanak-kanak sangat merisaukan kerana pengambilan gula berlebihan mendorong mereka ke arah obesiti dan diabetes.
Sehubungan itu, kata beliau, ibu bapa perlu bertegas melarang anak-anak daripada tidak berlebihan dalam pengambilan minuman manis yang mana boleh membuatkan mereka tidak bergiat aktif.
“Justeru, galakkan mereka untuk sentiasa aktif dalam kehidupan seharian, contohnya melakukan aktiviti riadah bersama seperti berjalan kaki atau bermain badminton bersama dalam 30 hingga 45 minit sehari.
“Dalam masa yang sama, kurangkan penggunaan menghadap skrin yang seperti melayari internet di telefon pintar dan menonton televisyen, maksimum dua jam sahaja,” katanya. – UTUSAN










