PETALING JAYA: Prestasi ringgit dan pasaran saham tempatan dijangka terus hambar sehingga akhir tahun ini tetapi bakal mengukuh semula pada suku pertama tahun depan, didorong kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) bagi sembilan bulan pertama 2023.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan peningkatan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.
Katanya, Fed dijangka menaikkan kadar faedah pada bila-bila masa bagi mengawal inflasi di negara itu yang seterusnya akan mengukuhkan dolar AS serta menarik pelabur untuk menyimpan dana mereka di pasaran tersebut.
“Saya menjangkakan ringgit berada sekitar RM4.65 hingga RM4.70 sehingga hujung tahun ini di sebabkan faktor-faktor tadi.
“Bagaimanapun, pada suku pertama mata wang akan kembali mengukuh dan saya jangkakan ringgit akan berada pada sekitar RM4.25 hingga RM4.35 selepas suku pertama,” katanya di sini semalam.
Baharom berkata, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) juga dijangka didagangkan sekitar 1,450 mata sehingga akhir tahun ini.
“Kedua-dua ringgit dan Bursa Malaysia akan kembali mengukuh pada suku pertama tahun depan berikutan FDI sebanyak RM125.7 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun ini.
“Kita akan dapat menyaksikan FDI yang diluluskan ini mula beroperasi secara berperingkat pada tahun depan. Selepas itu, kita akan melihat limpahan daripada pelaburan-pelaburan tersebut.
“Bagaimanapun, pengukuhan ini juga bergantung juga jika tiada faktor-faktor lain yang boleh menjejaskan pasaran seperti peningkat kes Covid-19 seperti dahulu, peperangan dan sebagainya,” ujarnya.
Tambah beliau, rombakan Kabinet baru-baru ini memberi ‘signal’ kepada pelabur domestik dan antarabangsa dalam pengukuhan barisan Kabinet. – UTUSAN










