‘Sokongan Melayu belum jelas kepada kita’

‘Sokongan Melayu belum jelas kepada kita’

MOHD. HASBIE MUDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MENJADI peranan dan tanggungjawab kepemimpinan baharu Parti Amanah Negara (Amanah) yang akan dipilih hujung minggu ini untuk memainkan peranannya menarik sokongan pengundi Melayu Islam yang ketika ini dilihat condong ke arah Pas.

Ia penting dalam memberi persepsi baharu terhadap masyarakat dengan Amanah adalah sebagai daripada komponen Kerajaan Perpaduan. Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR bersama Ketua Pemuda Amanah yang sekali lagi dipilih bagi penggal kedua, SENATOR MOHD. HASBIE MUDA.

Memuatkan artikel berkaitan…

UTUSAN: Tahniah kerana sekali lagi dipilih menerajui Pemuda Amanah. Bagaimana YB (Yang Berhormat) melihat pemilihan kali ini?

HASBI MUDA: Saya nampak pengalaman atau gerak kerja dua tahun sebelum ini menjadi penilaian perwakilan dan mereka terus memberi sokongan. Apa yang saya boleh katakan adalah mereka memberi kredit sedikit dari sudut perpaduan dalam Pemuda. Sebelum ini ada keretakan dan perpecahan dalam parti, tetapi dalam tempoh saya memegang jawatan Ketua Pemuda, Alhamdulillah kita dapat menyatukan kumpulan yang ada.

Transformasi yang mahu dibawa dalam penggal kedua ini?

HASBI: Pemuda Amanah perlu menjadi pendukung khususnya dalam gerakan kepada dasar-dasar yang baik kepada kerajaan dalam memulihkan serta memperkasa ekonomi. Ada banyak cabaran dalam ekonomi fiskal yang memerlukan kepemimpinan sayap pemuda faham masalah negara. Selain itu kita fokus kepada latihan pengkaderan dalam parti dan Pemuda perlu lebih agresif untuk turun ke kawasan, bertemu serta menambah ahli dan cawangan.

Apakah peranan Amanah masih relevan untuk menarik sokongan orang Melayu?

HASBI: Sokongan Melayu belum kembali jelas dengan kita, tetapi dalam kalangan penjawat awam kita nampak sedikit-sebanyak aspirasi mereka bersama Kerajaan Perpaduan. Tetapi dari sudut pengundi Melayu Islam, ia ada peningkatan contohnya di DUN Simpang Jeram. Namun perkara itu belum ketara dan pengundi Melayu belum beralih sepenuhnya secara signifikan kepada kita. Dalam hal ini, Amanah boleh memainkan peranan yang penting untuk menarik sokongan Melayu dan Islam. Perkara ini saya sebut dalam persidangan semalam sebab ada dalam kalangan ahli Amanah yang melahirkan rasa tidak puas hari dalam pengagihan jawatan dalam kabinet. Jadi, Perdana Menteri perlu memberi peluang yang lebih luas kepada kita, kita bukan nak demand tetapi kita mengharapkan kepercayaan yang lebih akan diberi Perdana Menteri kepada kita.

Apakah caranya?

HASBI : Dalam Pakatan Harapan, parti yang dilihat mewakili Melayu Islam itu adalah Amanah. Naratif yang dimainkan Pas dalam Perikatan Nasional adalah sentimen Islam. UMNO pula adalah rakan strategik kita dalam Kerajaan Perpaduan. Jadi Perdana Menteri tidak seharusnya melihat peranan UMNO sahaja.

Adakah YB berasa UMNO mengambil peranan Amanah untuk menarik sokongan Melayu dan Islam?

HASBI : Kita tidak kata UMNO ambil peranan kita, tetapi kita bersainglah dengan UMNO. Dengan mana-mana parti pun kita bersaing kerana ia lebih kepada ingin memperbaiki kekuatan kerajaan hari ini. Memanglah kuasa melantik menteri dan timbalan adalah kuasa Perdana Menteri, tetapi Perdana Menteri perlu membuat pertimbangan dari segi lantikan untuk orang-orang UMNO dan juga Amanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN