PETALING JAYA: Jualan kenderaan di Malaysia bagi November 2023 meningkat kepada 71,708 unit berbanding 65,617 unit pada bulan sama tahun lalu, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
MAA berkata, jualan kenderaan penumpang meningkat kepada 65,246 unit pada November 2023 berbanding 58,763 unit pada Ogos 2022, manakala jualan kenderaan komersial turun kepada 6,662 unit daripada 6,854 unit.
Jualan bagi 11 bulan pertama tahun ini adalah sebanyak 718,748 unit berbanding 644,534 unit bagi tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah jualan kenderaan penumpang naik 13 peratuw kepada 645,667 unit berbanding 573,278 unit pada tempoh sama 2022 dan kenderaan komersial naik tiga peratus kepada 73,081 unit berbanding 71,256 unit tempoh sama 2022.
“Jumlah jualan 11 bulan pertama 2023 adalah 12 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun 2022.
“Jumlah keseluruhan industri (TIV) bulan dikaji juga adalah empat peratus lebih rendah daripada Oktober 2023 iaitu pada 74,896 unit.
“Dengan baki satu bulan yang lalu, tahun penuh TIV 2023 dijangka melepasi TIV tertinggi sepanjang masa tahun lepas pada 720,658 unit,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
MAA memberitahu, pertumbuhan TIV yang agak kukuh yang dicatatkan pada November 2023 sekali lagi didorong oleh segmen kenderaan penumpang, disumbangkan kebanyakannya oleh pengeluar negara yang terus memenuhi pesanan tertunggak mereka.
Sementara itu, jumlah pengeluaran juga mencatatkan peningkatan sebanyak 67,743 kenderaan dikeluarkan pada November 2023, berbanding 65,642 unit pada bulan sama tahun lalu.
Pengeluaran kenderaan penumpang, naik kepada 62,931 unit pada bulan dikaji berbanding 60,630 unit pada November tahun lalu manakala pengeluaran kenderaan komersial jatuh pada 4,812 unit daripada 5,012 unit sebelumnya.
“Jumlah pengeluaran industri yang dicatatkan pada November 2023 juga jauh lebih rendah berbanding 74,191 unit pada Oktober 2023.
“Bagi Disember 2023, MAA menjangkakan jualan seperti pada paras November 2023 dengan promosi akhir tahun yang agresif daripada syarikat-syarikat pengeluar bagi mereka yang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023,” ujarnya. – UTUSAN










