HUJUNG minggu lalu, seorang kolumnis sebuah akhbar arus perdana berbahasa Inggeris mengkritik dasar luar Malaysia di bawah Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kolumnis ini mendakwa kononnya berdasarkan pandangan lebih 10 pegawai Wisma Putra yang tidak dinyatakan identiti mereka, dasar luar Malaysia di bawah Anwar adalah tidak jelas.
Anwar dikatakan terlalu berhati-hati dan sentiasa cuba memuaskan hati semua orang sehingga kadang-kadang beliau tidak dapat membuat keputusan dan lebih banyak beretorik.
Kritikan ini sebenarnya tidak berasas sama sekali kerana walau siapa pun menjadi Perdana Menteri, keutamaan dalam dasar luar Malaysia stabil dan tidak banyak berubah.
Keutamaan dalam dasar luar Malaysia tetap sama dan jelas dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagai tonggak serta komitmen kepada multilateralisme.
Malaysia juga sentiasa tegas mengamalkan pendekatan dasar luar yang bebas dan berprinsip terutamanya bila ia melibatkan persaingan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Lebih banyak lawatan dan sidang kemuncak di luar negara yang dibuat dan dihadiri oleh Anwar, dan suara Malaysia juga lebih lantang, sejak beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri.
Pada masa yang sama, walaupun jumlah kunjungan ke luar negara meningkat tetapi bilangan ahli delegasinya lebih kecil berbanding sebelum ini sekali gus menjimatkan kos.
Perkara-perkara begini sepatutnya mendapat pujian daripada kolumnis ini yang pernah mengeluh bahawa beberapa tahun kebelakangan ini suara Malaysia kurang didengari di peringkat global.
Malah, dalam kolumnya pada 5 Mac lalu, kolumnis ini mendedahkan dalam pertemuan dengan Anwar, beberapa orang duta baharu Malaysia menyatakan kegembiraan untuk bekerja dengan Anwar.
Anwar dikatakan satu nama besar yang mukanya dikenali di peringkat antarabangsa. Seorang duta juga menyatakan rakan-rakan sejawatan beliau di luar negara teruja dengan imej reformis Anwar.
Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula menyebut pesanan Anwar kepada mereka ialah supaya menjalin hubungan baik dan menarik pelaburan dari negara-negara luar.
Segala dasar luar negara utama Malaysia dinyatakan dengan jelas oleh Anwar sewaktu menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bagi sesi ke-78 pada 19 hingga 24 September dan menyampaikan Kenyataan Malaysia pada 22 September.
Di dalamnya termasuklah penegasan mengenai dasar Malaysia ke atas Ukraine, Palestin, Afghanistan, Myanmar, Perubahan Iklim Global, Laporan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), Islamofobia dan multilateralisme.
PALESTIN
Dasar Malaysia ke atas Palestin juga diungkapkan oleh Anwar dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh pada 19 hingga 21 Oktober, di mana beliau menggesa masyarakat dunia mengambil tindakan tegas untuk menangani punca konflik Palestin-Israel.
Begitu juga dalam penyertaan Malaysia di dalam Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-30 di San Francisco, AS, pada 15 hingga 17 November di mana Anwar menyuarakan pendiriannya mengenai isu Palestin dengan lebih tegas lagi.
Anwar bersuara lantang di hadapan Presiden AS, Joe Biden, di dalam sidang ini supaya negara itu menghentikan kekejaman yang menimpa rakyat Palestin sekarang juga. Malaysia juga telah meraih pelaburan sebanyak RM63.02 bilion dari kunjungan Anwar ke AS.
Selaras dengan kedudukan penting ASEAN, maka negara-negara ASEAN menjadi negara-negara pertama yang Anwar mengadakan lawatan rasmi selepas diangkat menjadi Perdana Menteri.
Ini dimulakan dengan lawatan rasmi ke Indonesia pada 8-9 Januari, diikuti oleh Brunei pada 24-25 Januari, Singapura pada 30 Januari dan Filipina pada Mac. Seterusnya adalah lawatan rasmi ke Kemboja pada 27 Mac, Laos pada 26-27 Jun dan Vietnam pada 20-21 Julai.
Selain itu, Anwar juga menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Labuan Bajo, Indonesia pada 9-11 Mei dan di Jakarta pada 4-7 September selain menghadiri Sidang Kemuncak Asia Institut MILKEN di Singapura pada 13 September serta menghadiri Retreat Tahunan Pemimpin Malaysia-Singapura pada 29-30 Oktober.
Selanjutnya adalah negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang penubuhannya didorong oleh serangan ganas puak Zionis Israel terhadap Masjid Al-Aqsa.
Ia bermula dengan lawatan khas ke Turkiye pada 14 Februari, lawatan rasmi ke Arab Saudi pada Mac serta lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 5-6 Oktober, Turkiye pada 21-22 Oktober dan Mesir pada 22-23 Oktober.
Melaluinya Anwar membincangkan konflik Palestin-Israel bersama Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia, Sheikh Dr. Muhammad Abdulkarim Al-Issa; Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman; Raja Bahrain, Hamad bin Isa; Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Mesir, Abdel Fatah El-Sisi.
Lebih penting lagi adalah, kejayaan dasar luar menarik pelaburan asing ke Malaysia. Dalam lawatan rasmi ke China pada Mac, Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.
Turut ditandatangani adalah Protokol Pertama untuk Meminda Perjanjian Memperluas dan Melebarkan Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan antara Malaysia dan China.
Pada 16-17 September Anwar sekali lagi mengadakan lawatan kerja ke China untuk menghadiri majlis Ekspo China-ASEAN (CA EXPO) Ke-20 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) di Nanning yang membawa pelaburan bernilai RM19.84 bilion.
Tegasnya, kestabilan dan kesinambungan dalam dasar luar Malaysia adalah sesuatu yang baik. Apa yang berbeza hanyalah kini suara Malaysia lebih didengari di peringkat antarabangsa.
Anwar sebagai Perdana Menteri mendapat penghormatan daripada pemimpin negara-negara lain dan ini membantu memperkukuhkan imej dan kedudukan Malaysia di mata dunia. – UTUSAN
DR. Siti Darwinda Mohamed Pero ialah pakar dalam bidang hubungan antarabangsa dan Timbalan Dekan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).











