Pantai Timur, Kedah, Perak 'lubuk' nadir bumi - Utusan Malaysia

Pantai Timur, Kedah, Perak ‘lubuk’ nadir bumi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Beberapa kawasan di Pantai Timur, Kedah dan Perak dikesan antara lokasi kaya dengan potensi sumber unsur nadir bumi (REE) bebas radioaktif yang mana jika dikomersialkan mampu memberi pulangan cukup lumayan kepada negara.

Potensi REE ini adalah anugerah yang tidak ternilai kepada negara yang mana jika kawasan-kawasan berpotensi sumber itu dibiarkan, prospek ekonomi mineral terkubur begitu sahaja.

REE mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dengan pelbagai penggunaan dalam sektor elektronik, optik, magnet dan produk pemangkin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Elemen nadir bumi turut digunakan dalam bidang ketenteraan seperti pembangunan jet pejuang serba canggih jenis F35 Lightning dan F-22 Raptor serta dron Predator dan peluru berpandu Tomahawk.

Setiap unsur nadir bumi mempunyai ciri unik dan penggunaan spesifik serta amat diperlukan dalam penghasilan produk berteknologi tinggi.

MOHD. YUSRI MOHD. YUNUS

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Kelestarian Ekosistem dan Sumber Alam (Pusat Alam) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Mohd. Yunus berkata, REE bebas radioaktif atau ion adsorption clay sangat besar potensinya di Pantai Timur, Perak dan Kedah.

“Nadir bumi adalah potensi besar yang perlu dikomersialkan. Ia adalah jisim mineral mengandungi 17 unsur antaranya cerium, neodymium, thulium, lanthanum dan terbium.

“Contohnya lanthanum, ia dijual kira-kira AS$2,000 satu metrik tan atau bersamaan RM8,000. Terbium pula dijual AS$1.3 juta satu metrik tan, lanthanum adalah REE bukan radioaktif yang banyak terdapat di negara ini,” katanya.

Pada November tahun lalu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, Malaysia memiliki potensi sumber REE yang boleh dibangunkan bernilai RM747.2 bilion.

Selain REE, bauksit juga adalah mineral yang masih mempunyai potensi untuk diusahakan kerana mengikut rekod JMG, kira-kira 181.5 juta tan sumber bauksit bernilai kira-kira RM20.3 bilion.

Mohd. Yusri berkata, Malaysia mempunyai kilang memproses nadir bumi, Lynas di Gebeng dekat sini yang seharusnya dijadikan sumber untuk negara meneroka bidang berkenaan.

“Kita sudah mempunyai pekerja tempatan yang pakar di Lynas, cuma bezanya di Lynas, nadir bumi yang diuruskan mempunyai unsur radioaktif seperti thorium dan uranium yang perlu diasingkan tetapi bagi ion adsorption clay ia bebas radioaktif,” katanya.

Memberi contoh di Pahang, beliau berkata, jika dikomersialkan, unsur nadir bumi bebas radioaktif itu yang banyak terdapat di Kuantan, Gambang dan utara Pahang boleh dilaksanakan lebih 100 tahun.

“Pendapatan yang mampu diperoleh dalam tempoh berkenaan di Pahang adalah berbilion dollar, ia cukup lumayan dan wajar dikomersialkan,” katanya.

Cuma, beliau berkata, jika pengkomersialan unsur nadir bumi bebas radioaktif itu dilakukan, ia perlu dilaksanakan secara komprehensif yang mana perlu mengambil kira impak kepada alam sekitar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×