Bulan ini menandakan masuknya tempoh enam bulan Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara tanpa membuat rombakan Kabinet mahupun melantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang baharu.
Ia tentunya menimbulkan persoalan mengapa Perdana Menteri mengambil masa terlalu lama untuk membuat pelantikan menteri baharu mahupun rombakan Kabinet meskipun berpeluang untuk berbuat demikian.
Sebaliknya, beliau hanya melantik Datuk Armizan Mohd. Ali sebagai pemangku menteri seminggu selepas pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub walaupun berdepan pelbagai isu kenaikan harga barang seperti ayam, telur, minyak masak, sayur dan sebagainya.
BERJANJI
Beliau sendiri berjanji untuk membuat pengumuman selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri pada 12 Ogos lalu, namun masih tidak berbuat demikian sehingga ke hari ini.
Sepanjang tempoh enam bulan sebelum ini, beliau dilihat sibuk dengan Ekonomi Madani, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, Belanjawan 2024 serta menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-78 (UNGA), Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Arab Saudi dan terbaru Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bulan lalu.
Ia dilihat menyukarkan beliau untuk merombak Kabinet jika ketika itu kerajaan sedang merancang sebarang polisi atau mengumumkan dasar baharu kerajaan mahupun ketika mengadakan lawatan kerja di luar negara.
Dari satu sudut, ia seolah-olah menunjukkan beliau tidak meletakkan keutamaan kepada pelantikan menteri baharu atau rombakan Kabinet walaupun ia akan mengukuhkan lagi barisan jemaah menteri sedia ada.
Dari satu sudut lain, beliau tidak mahu terburu-buru merombak Kabinet kerana ia mempunyai konotasi negatif dan tidak mahu menunjukkan seolah-olah beliau tidak berpuas hati dengan prestasi menteri dan enggan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan menteri-menteri dan parti-parti yang mewakili kerajaan.
Disebabkan itu, beliau seakan menunggu waktu yang benar-benar sesuai untuk membuat rombakan Kabinet dan waktu itu sebenarnya adalah sekarang iaitu setahun selepas 25 menteri termasuk dua Timbalan Perdana Menteri mengangkat sumpah pada 3 Disember tahun lalu.
Tempoh setahun adalah masa yang mencukupi untuk menilai prestasi menteri-menteri dan jika beliau membuat rombakan Kabinet, ia bukanlah sesuatu yang negatif sebaliknya menunjukkan beliau mahukan pembaharuan. – UTUSAN










