Warganegara wajib fasih bahasa Melayu - Saifuddin - Utusan Malaysia

Warganegara wajib fasih bahasa Melayu – Saifuddin

KETUA Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi menyerahkan buku ‘Setahun Menerajui Kementerian Dalam Negeri’ kepada Saifuddin Nasution Ismail semasa Sambutan Setahun MADANI di Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua warganegara Malaysia wajib menguasai bahasa Melayu dan menjadi kewajipan mereka fasih bertutur bahasa kebangsaan itu bagi mengelak timbul syak wasangka teruta­ma ketika memperbaharui pasport dan memohon kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pe­nguasaan bahasa Melayu sudah terpahat dalam Perlembagaan Persekutuan dan setiap rakyat wajib menguasai bahasa kebangsaan.

“Dalam Perlembagaan Negara bahasa Melayu itu bahasa rasmi, bahasa lain bebas dipelajari dan digunakan, jadi asasnya di situ.

“Kewajipan seseorang warga negara untuk kuasai bahasa Melayu itu, tak boleh kita kompromi… sebab itu perlu faham bahasa (Melayu) supaya tidak timbul syak wasangka.

“Sebagai contoh sebelum ini pernah berlaku syak wasangka terhadap seorang individu kerana mirip muka tidak me­nyamai ibu bapanya.

“Selepas siasatan berlaku pemalsuan dokumen bagi mendapatkan kad pengenalan diri,” kata beliau sempena Sambutan KDN Madani dan Perhimpunan bulanan di sini semalam.

Saifuddin mengulas demikian bagi mempertahan insiden pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang didakwa mengherdik seorang wanita di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Johor baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan diambil pegawai itu berkemungkinan kerana wujudnya unsur syak wasangka mengenai status kewarganegaraan individu ber­kenaan apabila dia tidak fasih berbahasa kebangsaan.

Beliau berkata, sebelum ini, semasa KDN membuat kajian warganegara, pihaknya mendapati syarat kuasai bahasa itu juga menjadi syarat (kewarganegaraan) bagi beberapa negara termaju dunia seperti Singapura, United Kingdom (UK) dan sekiranya tidak boleh faham bahasa tempatan maka tidak layak mendapat kewarganegaraan.

PENGALAMAN

Baru-baru ini tular di media sosial seorang wanita berkongsi pengalaman memperbaharui pasport bersama anaknya di UTC Johor.

Wanita itu mendakwa dia diherdik seorang kakitangan lelaki di pejabat imigresen kerana tidak fasih berbahasa Melayu ketika mahu memperbaharui pasport anak perem­puannya.

Untuk rekod, sebanyak 9,539 permohonan kewarganegaraan telah dipertimbangkan KDN setakat September lalu.

Saifuddin dilaporkan berkata, penganugerahan kewarganegaraan kepada individu bertaraf bukan warganegara merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif kerajaan Persekutuan yang tidak ditawarkan dan diberikan dengan sewenang-wenangnya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin juga menggesa Ja­batan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) memantau serta meneliti aktiviti pertubuhan termasuk status kewangan secara berkala, susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku akaun Aman Palestin, baru-baru ini.

Menurut beliau, pemantauan itu perlu dilakukan bagi memastikan isu sama tidak berulang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×