Ponteng kuliah kerana anggap kelas hibrid beban

Ponteng kuliah kerana anggap kelas hibrid beban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA berbicara tentang menginovasi sesuatu bidang, ada beranggapan cetusan gagasan buah fikiran baharu dalam bidang berkenaan sudah cukup memadai. Namun, hakikatnya inovasi bukanlah sekadar pengemukaan idea semata-mata tetapi perlu diperkasa dan dilaksanakan bagi memakmurkan kehidupan masyarakat.

Pada usia lima tahun, saya selalu teruja setiap kali mengetahui arwah ayah akan bermesyuarat secara dalam talian. Ketika itu, ibu pejabat syarikat ayah bekerja bertempat di United Kingdom (UK). Justeru, kebanyakan komunikasi dan mesyuarat bersama ibu pejabat berserta cawangan-cawangan di beberapa negara lain dilakukan secara maya.

Oleh kerana ketika itu capaian internet belum begitu canggih untuk mampu menampung sejumlah pengguna yang ramai dari beberapa negara berbeza dalam satu mesyuarat maya, sebuah telefon fizikal khas dihantar dari UK khusus bagi tujuan sidang panggilan semata-mata. Proses membawa masuk telefon tersebut bukanlah mudah kerana ia perlu didaftarkan setelah mendapat kelulusan daripada beberapa sektor kerajaan.

Namun, hari ini mesyuarat di antara benua berlainan dapat dilakukan dengan begitu mudah sekali tanpa memerlukan peralatan khas atau berada di tempat tetap. Malah, beberapa hari lalu ketika melaksanakan tugas universiti, saya dapat berurusan secara terus menerus bersama profesor yang ketika itu berada dalam pesawat menuju Qatar.

Alat yang kami perlukan hanyalah telefon bimbit bercapaian internet.

Begitulah maju dan hebatnya perkembangan teknologi pada hari ini. Mengimbau 15 tahun lalu, satu mesyuarat sebegitu sudah tentu memerlukan telefon atau peralatan komunikasi khas yang mahal. Kini sesebuah persidangan antarabangsa melibatkan beribu peserta bukan hanya boleh dilakukan secara dalam talian tetapi dengan penggunaan kaedah hibrid, boleh dijalankan secara dalam talian dan bersemuka secara serentak.

Bulan lalu saya terlibat dalam penganjuran Persidangan RCE Global ke-13 yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Persidangan dijalankan secara hibrid ini turut disertai secara maya oleh para peserta yang berada di negara masing-masing. Kehebatan teknologi ini bukan sekadar memudahkan urusan jarak jauh tetapi juga dapat mengurangkan pelepasan karbon demi kelestarian alam sekitar.

Teknologi ini menjadi penyelamat kita tatkala dunia dilanda wabak Covid-19 antara 2020 dan 2022 apabila seluruh dunia berada dalam keadaan terkurung dan kebanyakan kita tidak dapat keluar dari rumah. Pada saat itu, segala kegiatan terpaksa beralih ke dalam talian sama ada kerja, majlis, mesyuarat, pembelian barang keperluan mahupun menghadiri kelas di sekolah dan universiti.

Ketika memulakan pengajian di Pusat Asasi Universiti (CFS) UIAM, semua kelas dijalankan secara dalam talian. Saya hanya perlu membuka komputer atau telefon di rumah untuk menyertai kelas. Selang beberapa ketika setelah kami mula mengikuti kuliah secara fizikal di Gambang, dalam keadaan jangkitan pandemik yang masih aktif, ramai pelajar perlu menjalani kuarantin akibat disahkan positif Covid-19.

DILEMA

Keadaan ini menimbulkan dilema apabila jumlah pelajar yang terpaksa menjalani kuarantin menjadi begitu signifikan sekali dalam sesebuah kelas. Melihat keadaan itu, saya memberi cadangan kepada pensyarah untuk mengadakan kelas secara hibrid bagi memastikan kawan-kawan yang sedang menjalani tempoh kuarantin dapat mengambil bahagian secara aktif dalam pembelajaran walaupun tidak berada di dalam bilik kuliah bersama kami.

Umumnya, kelas hibrid tidak menjejaskan perjalanan kelas yang dijalankan secara fizikal serta tidak membebankan pensyarah kerana mereka hanya perlu memulakan kelas dalam talian di komputer dan mengajar kepada pelajar bersemuka seperti biasa. Kaedah ini terbukti begitu efektif sehinggakan ia turut diguna pakai oleh pensyarah-pensyarah lain sepanjang semester terakhir saya di sana.

Kelas hibrid bukan sahaja berguna ketika pelajar menjalani kuarantin atau tidak sihat, tetapi juga apabila pelajar tidak dapat mengikuti kuliah secara fizikal atas urusan penting di luar. Dengan mengguna pakai kaedah ini, para pelajar tidak perlu mengorbankan kelas, malah mereka masih boleh mengikutinya walaupun ketika berada dalam perjalanan atau di mana-mana sahaja.

Sebagai contoh, saya masih boleh melibatkan diri secara aktif dalam memberi maklum balas terhadap pembentangan rakan sekuliah yang diadakan secara fizikal walaupun ketika itu saya berada di Stockholm, lebih 9,000 kilometer dari dewan kuliah.

Malang sekali, ada dalam kalangan kita sukar mengadaptasikan diri kepada keadaan baharu. Akibatnya, kelas hibrid masih dianggap asing, membebankan serta tidak sesuai untuk diterapkan secara meluas. Malah, tidak semua pensyarah mahupun pelajar berminat memanfaatkannya sehinggakan ada pelajar yang lebih rela tidak menghadiri kelas daripada mengikutinya secara dalam talian.

Hari ini, kita sedang menyaksikan gelombang inovasi digital yang hebat. Sama ada kita bersetuju atau tidak, seluruh dunia sedang bergerak pantas ke arah pendigitalan termasuk pendidikan. Persoalannya, apakah pendirian yang diambil oleh ahli-ahli akademik dalam hal ini? Adakah mereka akan berusaha melakukan anjakan paradigma ke arah pendigitalan pendidikan tinggi atau mahu berkeras mempertahankan status quo?

Dalam hal ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, “Inovasi digital memerlukan pendekatan pembelajaran digital holistik dan ia menggalakkan kerjasama global dalam kalangan pelajar, institusi, perkongsian penyelidikan antara universiti dengan industri dan pengiktirafan bersama antara bidang kuasa.”

Semoga hasrat murni Kementerian Pengajian Tinggi mentransformasikan pendidikan tinggi serta memupuk ekosistem pendidikan yang mantap dari segi akademik dan bertanggungjawab dari segi sosial dan alam sekitar akan disambut baik dan tidak disia-siakan oleh para ahli akademik, pihak universiti serta pihak-pihak berwajib. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×