KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di peringkat dasar selepas mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.
Kelulusan itu dicapai meskipun peruntukan generasi penamat rokok (GEG) digugurkan daripada RUU tersebut.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, walaupun GEG digugurkan daripada RUU itu, pihaknya terbuka untuk mengembalikannya pada masa akan datang.
“GEG mendapat beberapa pandangan dan ada sedikit pertikaian, tetapi kita akan tengok selepas penguatkuasaan RUU dan kita akan terus memantau.
“Apa kesan RUU ini terhadap penurunan mungkin prevalens merokok dan sebagainya, insya-Allah jika kita ada keperluan ketika itu, kita boleh bawa kembali tentang isu GEG ini,” katanya ketika sesi penggulungan dalam sidang Dewan Rakyat semalam.
Menurut beliau, pihak kementerian akan terus memberi komitmen untuk penguatkuasaan akta ini sebaik sahaja ia diluluskan.
“Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan masalah rokok dapat dibendung. Saya menyeru ahli parlimen supaya beri sokongan demi masa depan anak-anak kita, anak kita anak saya, anak semua ahli parlimen pun anak saya juga.
“Saya berharap semua pihak dapat menerimanya dengan baik dan segala perkara boleh dilihat dari sudut peraturan dan kita ada masa lagi untuk tambah baik RUU ini,” katanya.
Pada masa sama, katanya, pengguguran tafsiran dan peruntukan peranti merokok dalam RUU dilaksanakan bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan pertindihan kawalan peranti oleh agensi-agensi lain.
MEMBENTANGKAN
Terdahulu ketika membentangkan RUU tersebut untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam, Zaliha mempertahankan keputusan menggugurkan empat peruntukan GEG daripada RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dan menyifatkan ia merupakan satu keputusan dibuat secara kolektif atau kebertanggungjawaban bersama oleh pihak kerajaan.
Keputusan itu dibuat selepas merujuk kepada pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) apabila terdapat isu ketidaksamarataan dan diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan-peruntukan GEG dengan memberi layanan yang berbeza terhadap seorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 berbanding layanan terhadap orang yang lahir selepas 1 Januari 2007.
Kata Zaliha, pendapat dan nasihat AGC harus diambil kira dalam penggubalan undang-undang supaya ia tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang sedia ada terutamanya Perlembagaan Persekutuan.
Terdapat dua fasal dalam RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang melarang individu bawah 18 tahun daripada merokok susulan pengguguran empat peruntukan mengenai GEG.
Perkara pertama ialah Fasal 13 bertujuan melarang penjualan apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau pada mana-mana orang yang belum dewasa.
Fasal ini juga melarang orang belum dewasa daripada membeli apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau dan mana-mana orang gagal mematuhi fasal ini melakukan suatu kesalahan.
Fasal ini merupakan kesinambungan daripada larangan penjualan dan pembelian dalam kalangan mereka berusia 18 tahun di bawah undang-undang sedia ada,
BELUM DEWASA
Perkara kedua iaitu Fasal 17 pula bertujuan melarang mana-mana orang belum dewasa daripada merokok, mengunyah atau menggunakan apa-apa produk tembakau atau produk pengganti tembakau dan mana-mana yang gagal mematuhi fasal ini melakukan suatu kesalahan.
Bagi Fasal 13 (3) dan 17 (1), denda diperuntukkan sebanyak RM500 dan perintah khidmat masyarakat telah diperkenalkan namun denda bagi orang belum dewasa didapati melakukan kesalahan adalah tidak bersifat punitif sebaliknya adalah untuk memberikan kesedaran supaya mereka tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Ia menggantikan empat peruntukan terhadap GEG iaitu Perkara 13 merujuk terhadap larangan penjualan produk tembakau kepada orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya serta Perkara 14 iaitu larangan penjualan bahan merokok dan sebagainya kepada orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya tidak ada lagi dalam RUU tersebut.
Begitu juga dengan Perkara 18 iaitu larangan merokok produk tembakau bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya serta Perkara 19 iaitu larangan merokok produk pengganti tembakau dan sebagainya bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.- UTUSAN










