ID digital melengkapi, meningkatkan kesejahteraan rakyat

ID digital melengkapi, meningkatkan kesejahteraan rakyat

ID digital melengkapi, meningkatkan kesejahteraan rakyat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan RM80 juta untuk mempercepat pelaksanaan Inisiatif ID Digital Nasional merupakan langkah awal dalam transformasi digital negara dan pengembangan inisiatif digital terutama dalam transaksi kerajaan. Anwar menekankan keperluan bagi menteri, ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah dan ketua jabatan untuk memulakan pendaftaran ID digital dengan kadar segera, yang menjadi prasyarat bagi pemberian subsidi bersasar dan kemudahan lain oleh jabatan atau sektor swasta.

Projek ID digital nasional ini dirancang untuk menjadi platform pengesahan yang dipercayai bagi sektor awam dan swasta, memungkinkan pengesahan identiti pengguna dalam transaksi digital. Walaupun direncanakan untuk semua warganegara dan penduduk tetap berusia lima tahun ke atas, ID digital tidak akan menggantikan MyKad tetapi melengkapi dan menguatkan keselamatan dan fungsi yang telah ada.

ID digital boleh digunakan oleh kerajaan dan sektor swasta untuk mengesahkan identiti individu yang menggunakan perkhidmatan elektronik dan melakukan transaksi dalam talian. Pengenalan kerangka ID digital merupakan langkah strategik ke arah pembangunan dan transformasi pelbagai sektor perkhidmatan memandangkan peningkatan permintaan signifikan untuk platform digital serta pertumbuhan ekonomi digital yang pesat.

Pelaksanaan inisiatif ID digital nasional di negara ini perlu diakui lebih sekadar lonjakan kemajuan teknologi. Langkah ini menandakan transformasi digital ketara dalam kalangan masyarakat yang memerlukan strategi teliti dan jelas terutama mengenai kawalan individu dan negara terhadap maklumat digital.

Inisiatif ini meletakkan kedaulatan digital peribadi yang merujuk kepada hak individu untuk mempunyai kawalan penuh ke atas data mereka sendiri dalam alam digital sebagai fokus utamanya. Sistem ID digital nasional melibatkan pengumpulan dan manipulasi data meluas, meningkatkan kebimbangan rakyat mengenai privasi dan keselamatan data. Kebimbangan ini diburukkan lagi dengan cabaran sedia ada termasuk tahap literasi keselamatan siber dalam kalangan rakyat yang rendah dan kekurangan profesional keselamatan siber seperti dikenal pasti oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan CyberSecurity Malaysia.

Untuk menangani cabaran-cabaran ini, penting bagi Malaysia untuk melaksanakan undang-undang perlindungan data yang mantap. Undang-undang ini bukan sahaja merangkumi protokol pengurusan data yang jelas dan mekanisme persetujuan tetapi juga penalti lebih berat untuk sebarang kes pelanggaran data.

Yang penting, undang-undang ini harus memberi kuasa kepada individu yang mempunyai hak ke atas data mereka seperti akses, pembetulan dan penghapusan. Juga perlu bagi rangka kerja perundangan ini terpakai ke atas data peribadi dikendalikan sama ada oleh entiti swasta atau kerajaan bagi menjamin tahap perlindungan data yang konsisten dalam semua sektor.

BLOK RANTAIAN

Melaksanakan pengurusan data teragih seperti memanfaatkan teknologi blok rantaian amat berpotensi untuk mengurangkan risiko pelanggaran data yang meluas. Selain itu, penting untuk mengutamakan peningkatan kesedaran dan pendidikan keselamatan siber bagi memperkasakan individu dalam melindungi identiti digital mereka.

Kesan sistem ID digital yang lebih luas terhadap kedaulatan data negara dan lokalisasi data tidak boleh diabaikan. Kerajaan mesti menjamin setiap data rakyat disimpan dan diproses secara eksklusif di dalam sempadan negara. Pelaksanaan lokalisasi data adalah penting untuk memastikan keselamatan negara dan melindungi privasi peribadi dan ia harus diawasi oleh rangka kerja kawal selia yang mantap.

ID digital juga boleh menjejaskan kedaulatan data peribadi dengan adanya pangkalan data berpusat maklumat peribadi yang boleh diakses oleh kerajaan dan pihak ketiga lain mungkin tanpa persetujuan atau pengetahuan individu. Sebagai contoh, melalui ID digital, kerajaan dapat mengesan dan memantau aktiviti dan transaksi individu dalam talian dan menggunakan data untuk tujuan seperti penguatkuasaan undang-undang, percukaian, pengawasan atau kawalan sosial. Ini boleh menjejaskan privasi, keselamatan dan hak sivil individu.

Ketelusan tanpa kompromi adalah penting di setiap peringkat pembangunan dan pelaksanaan sistem ID digital. Kerajaan harus mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan telus dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti sektor swasta, akademia, masyarakat sivil dan rakyat untuk memupuk kepercayaan dan memastikan keterangkuman merentas perspektif. Penglibatan pelbagai pihak berkepentingan adalah penting untuk mengenal pasti dan mengurangkan potensi risiko serta membangunkan strategi berkesan lagi inklusif.

Untuk memastikan penerapan teknologi dan kepakaran, perkongsian awam-swasta mesti dikawal selia melalui piawaian etika untuk mengelak konflik kepentingan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. Penyertaan komuniti setempat dalam proses membuat keputusan terutama di kawasan terpencil adalah penting untuk memastikan penerimaan dan keberkesanan sistem ini. Komunikasi yang konsisten dan telus mengenai objektif, prosedur, kelebihan dan potensi kelemahan sistem ID digital penting untuk mewujudkan dan memelihara keyakinan dan sokongan rakyat.

Dengan melaksanakan perundangan mantap yang terpakai kepada semua pemproses data termasuk kerajaan dan dengan penglibatan dalam pembuatan dasar yang telus dan inklusif, Malaysia boleh menetapkan piawaian global teladan untuk tadbir urus digital yang telus dan inklusif. Pendekatan ini bukan sahaja melindungi hak dan kebebasan digital rakyat tetapi juga memupuk rasa pemilikan kolektif dan kepercayaan dalam inisiatif ID digital.

Kesimpulannya, usaha kerajaan dalam melaksanakan ID digital merupakan langkah yang perlu diberi perhatian ke arah masa depan lebih maju dan patut diperkemaskan setiap masa dari segi teknologi. – UTUSAN

Profesor Dr. Suhaidi Hassan ialah Felow Kluster Sains, Teknologi & Inovasi, Akademi Profesor Malaysia; dan Profesor Kanan di Pusat Pengajian Pengkomputeran, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×