3 maut, 2 parah ditimpa tiang rasuk konkrit 14 tan

3 maut, 2 parah ditimpa tiang rasuk konkrit 14 tan

Kerja-kerja mencari dan menyelamat dilakukan di lokasi kejadian kawasan pembinaan di Batu Maung, Pulau Pinang semalam. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Tiga buruh binaan warga Bangladesh maut manakala dua lagi cedera parah dihempap tiang rasuk konkrit seberat 14 tan dalam kejadian runtuhan di tapak pembinaan sebuah gudang syarikat kurier di Batu Maung, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.58 malam kelmarin itu, dua mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Mangsa yang maut dikenali sebagai Md Ahed Ali, 42, Mohammad Mokaddes Ali, 46, dan Mohd Sayful Islam, 29.

Dua yang cedera pula dikenali sebagai Md Uzzal Mridha, 30 yang patah kaki kiri dan Md Razu Ahamad, 33,

Sementara itu, mangsa yang cedera parah kini berada di bawah pengawasan pasukan Jabatan Ortopedik manakala seorang lagi dipantau Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kejadian berlaku ketika semua mangsa sedang be­kerja di tapak pembinaan tersebut sebelum salah satu tiang rasuk konkrit secara tiba-tiba runtuh dari ketinggian kira-kira 20 meter.

Jelas beliau, tiang rasuk seberat 14 tan dan sepanjang 12 meter itu kemudiannya menimpa sekurang-kurangnya 14 lagi tiang rasuk lain sebelum jatuh dan menimpa kesemua mangsa yang sedang bekerja di bawahnya.

Dalam pada itu, tambah beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sejak 10.30 malam kelmarin dihentikan pukul 6.30 petang semalam.

“Kita telah memutuskan setelah kita membuat operasi mencari dan menyelamat ini, kita tidak menjumpai mana-mana mangsa lain di tempat kejadian.

“Jadi, mangsa kekal lima orang, tiga meninggal dunia dan dua cedera parah, itu dapatan kita setakat ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×