DALAM setiap pilihan raya sebelum ini, jentera kempen Pas sentiasa agresif berbekalkan semangat jihad fisabilillah apabila sanggup bekerja keras tanpa mengira panas atau hujan demi memastikan kemenangan calon mereka.
Namun suasananya berubah dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman apabila anggota jentera Pas didapati ‘kesejukan’ apabila kempen yang dijalankan agak perlahan di musim tengkujuh ini.
Setelah memasuki minggu kedua kempen, kempen Pas dilihat masih tidak ‘panas’ kecuali mengadakan beberapa siri ceramah pada sebelah malam.
Penglibatan anak-anak muda berkempen termasuk membantu memasang bendera parti berkurangan berbanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Sementara itu, anggota Muslimah Pas juga tidak kelihatan berpayung memasuki kawasan kampung dan taman perumahan untuk berkempen dari rumah ke rumah.
Bagaimanapun, Pas didapati banyak menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan TikTok berkempen untuk menarik sokongan dalam kalangan pengundi muda dan perantau.
Pada masa sama, kesibukan calon Pas, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mentadbir negeri menyebabkan beliau hanya sempat turun padang menemui pengundi pada petang dan malam.
Bermula pada Isnin hingga Khamis ini, Ahmad Samsuri perlu hadir ke Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, kebanyakan penyokong Pas percaya parti itu dapat mempertahankan kerusi Parlimen itu walaupun mereka berkempen secara ala kadar sahaja.
Mereka tidak perlu bekerja kuat untuk berkempen kerana sebahagian besar pengundi di Parlimen Kemaman telah mengenali Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas.
Suasana tersebut berbeza bagi calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang terpaksa ‘bermandi’ hujan setiap hari turun berkempen dari awal pagi hingga larut malam untuk menemui seramai mungkin pengundi.
Walaupun bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dibesarkan di Kemaman, beliau tidak berada di Kemaman selepas menamatkan alam persekolahan kerana berkhidmat dalam ATM lebih 40 tahun.
Bagaimanapun, jentera BN yang dianggotai pemimpin BN di peringkat pusat, negeri dan bahagian juga tidak ketinggalan membantu kempen calon.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis dan sembilan anggota tentera pada 2 Disember ini.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506). – UTUSAN










