BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu rancangan siar pod mengatakan bahawa untuk mencapai matlamat, dia percaya kepada pendekatan ‘musuh kepada musuh anda adalah kawan anda.’ Benarlah, dalam politik tidak ada kawan dan musuh kekal abadi, sebaliknya yang ada hanya kepentingan rakyat yang kekal.
Tanggal 19 November 2023 merupakan detik bersejarah terutama dalam konteks politik di Pahang kerana negeri inilah yang pertama memeterai perjanjian persefahaman kerjasama (MOA) kerajaan perpaduan diwakili Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari.
Hakikat politik ini tentu tidak dapat kita gambarkan suatu ketika dahulu. Namun, apabila zaman realiti politik baharu ini berada di hadapan kita, kita mesti menterjemah dan merealisasikan komitmen untuk bersama-sama memperkukuhkan kerajaan perpaduan. Setahun lalu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), mana mungkin kita bayangkan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu boleh sepentas dengan Menteri Besar Pahang, dan Setiausaha Agong DAP boleh duduk bersama dengan pemimpin UMNO lain. Hakikatnya, inilah seni politik yang dinamik!
Ada beberapa faktor kita harus melangkau ke hadapan untuk terus mencari titik persamaan dan mengetepikan perbezaan. Pertama, kestabilan dan kemakmuran kerajaan negeri Pahang terus menjamin kesejahteraan rakyat. Kedua, membina kerajaan negeri yang berupaya membentuk kerukunan dan memiliki nilai hormat-menghormati sesama bangsa dan agama yang pelbagai. Dan ketiga, kerajaan negeri yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan mempunyai keserasian serta kesalingan dengan Kerajaan Persekutuan seperti yang sudah kita amalkan dalam tempoh setahun pentadbiran.
Itulah tekad kerajaan negeri, malah realiti dalam laman politik baharu, kita tidak harus diganggu-gugat dengan alasan slogan agama dan perkauman yang sempit.
Dengan kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang stabil pada masa kini, setelah hampir setahun kerajaan perpaduan Pahang terbentuk, puluhan juta ringgit nilai bantuan kita salurkan kepada rakyat, dengan kutip hasil melebihi RM1 billion pada tahun ini.
Sudah tentulah rakyat Pahang yang rasional akan terus membuat penilaian dan pertimbangan untuk menyokong dasar dan aspirasi kerajaan perpaduan bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dan kebajikan demi kepentingan bersama.
Menyoroti kembali keputusan dan mandat rakyat pada PRU15 lalu, tidak ada satu pun blok atau parti politik yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri Pahang. Daripada 42 kerusi dipertaruhkan di peringkat DUN, BN memperoleh 17 kerusi (selepas memenangi kerusi DUN Tioman pada 7 Disember 2022), Perikatan Nasional (PN) 17 kerusi dan PH, lapan lapan kerusi.
Mengambil kira semangat dan situasi pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat Kerajaan Persekutuan, banyak persamaan boleh dijayakan apabila kita bersedia untuk bekerjasama terutama dalam mengangkat agenda kestabilan dan kesejahteraan.
Maka atas dasar itu, BN bersetuju membentuk kerajaan bersama-sama PH pada 16 Disember 2022 yang mana rundingan awal diadakan sebaik sahaja keputusan PRU15 diumumkan. Amiruddin selaku Pengerusi PH Pahang menawarkan kerjasama tanpa syarat untuk membentuk kerajaan negeri.
Ini membuktikan kematangan politik dan keterbukaan PH dalam menjalinkan kerjasama serta menafikan tohmahan bahawa BN Pahang terdesak untuk mempertahankan kuasa.
BERLAPANG DADA
Jika dibandingkan, keadaan ini amat jauh berbeza dengan perbincangan kepimpinan BN bersama PN yang meletak pelbagai syarat untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri. Sepertimana rundingan di peringkat Pusat, antara faktor utama mendorong pembentukan kerajaan Madani di Pahang adalah mendukung empat unsur tradisi yang termaktub dalam perlembagaan melibatkan agama Islam, hak orang Melayu, bahasa Melayu dan kepentingan institusi raja Melayu yang dijadikan inti pati dan syarat penting untuk membentuk kerajaan perpaduan sepertimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong.
Langkah BN membentuk kerajaan perpaduan bersama PH membuka lembaran baharu dalam banyak perkara demi manfaat rakyat dan negeri merangkumi lima asas. Pertama, mengukuhkan pendirian BN selaku parti yang sederhana dan terbuka di mana ia menunjukkan parti ini sentiasa berlapang dada untuk menjalinkan hubungan selagi mana kemaslahatan dan manfaat kepada rakyat menjadi agenda utama. Kedua, BN adalah parti yang meraikan kemajmukan dan kepelbagaian.
Ketiga, pembentukan kerajaan perpaduan bersama-sama PH adalah selari dengan perkembangan di peringkat Pusat. Keempat, untuk BN kekal relevan, ia mesti bersedia meneroka jalan baharu, mencari rakan baharu dan bekerjasama dengan cara baharu. Dan kelima, kerjasama BN dengan PH tidak akan dilakukan dengan cara yang memaksa BN berkompromi dengan prinsip dan pegangan selama ini.
Atas dasar inilah, melalui MOA ini mewujudkan Majlis Perundingan dianggotai wakil-wakil dari BN dan PH yang membentuk kerajaan perpaduan Pahang. Majlis ini berperanan untuk memastikan segala terma-terma dipersetujui dalam perjanjian persefahaman kerjasama ini dapat dilaksanakan dengan cermat dan teratur.
Hakikatnya, kerajaan perpaduan ini adalah satu realiti politik yang terhidang di hadapan kita. Dengan penyertaan parti-parti komponen lebih besar daripada caturan kerjasama politik 1974, sudah tentu rencamnya lebih rumit.
Namun begitu, kepelbagaian ini seharusnya dilihat sebagai suatu kekuatan, bila mana ia berupaya untuk berdiri atas titik-titik persamaan. Kendatipun dalam meraikan perbezaan dan persamaaan, BN akan memastikan kekuatan dibina ini akan tetap berpaksikan kepada asas-asas negara yang selama ini menjadi pelindung keamanan, keharmonian dan kestabilan negara.
Di samping itu, setelah hampir setahun usia kerajaan perpaduan di bumi Pahang, tentunya masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran yang tinggi, namun telah terserlah keupayaan dan keserasian daripada kerjasama ini demi kestabilan, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.
Ironinya, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai menjadi medan bukti menguji keserasian kerajaan BN-PH, di mana BN menang majoriti 2,949 undi, hasil persenyawaan politik di Pahang.
Tentunya semua pihak mengharapkan agar MOA ini akan terus memperkukuhkan hubungan sinergi dan gerak kerja bagi meraih sokongan dan keyakinan rakyat serta pengundi kepada kerajaan perpaduan di bumi Pahang. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS).










