Lebih 1,200 penduduk mula berkemas hadapi banjir

Lebih 1,200 penduduk pinggir Sungai Galas mula berkemas hadapi banjir

MAZITA Mamat menyimpan barangan jualannya ke dalam lori sebagai persiapan menghadapi banjir di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 1,200 penduduk Kampung Limau Kasturi yang tinggal di pinggir Sungai Galas sudah mula berkemas dan memindahkan barangan ke atas rumah rakit sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi bencana banjir.

Penghulu Mukim Kampung Limau Kasturi, Mohd. Shaffien Mohmood berkata, persiapan itu sudah dimulakan sejak awal bulan lalu apabila lebih 20 rumah rakit dan lebih 10 bangsal telah dibaik pulih sebagai persediaan sekiranya kawasan mereka dilanda banjir.

“Mereka yang tinggal di berhampiran jambatan Sungai Kerak sentiasa berwaspada dengan paras air sungai dan akan mula berpindah keluar sekiranya air mencecah jambatan besi itu.

“Jambatan itu adalah satu-satunya laluan darat dan sekiranya mula ditenggelami akan memberi risiko kepada penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, seorang suri rumah, Nor Aini Azmira Hanafi, 28, yang baru berpantang selama 30 hari berkata, dia sudah mengemas pakaian dan dokumen penting untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebaik sahaja diarahkan berpindah.

“Rumah kami pernah dihanyutkan pada 2014 dan telah tiga kali dinaiki air banjir sejak tahun 2019,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Mazita Mamat, 44, berkata, dia sudah bersiap sedia menyimpan barang jualannya ke dalam lori.

“Rumah kami berhampiran sungai menyebabkan kami bersiap sedia untuk berpindah sekiranya rumah dilanda banjir, “ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×