Pemerdagangan manusia di sini sudah wujud sejak abad ke-19

Pemerdagangan manusia di sini sudah wujud sejak abad ke-19

BUKU Orang Jawa di Selangor: Penghijrahan dan Penempatan menceritakan sejarah kedatangan orang Jawa ke Selangor dari 1880 hingga 1940.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA menyebut tentang orang Melayu di Malaysia, kita sebenarnya turut merujuk kepada mereka yang berketurunan Bugis, Jawa, Minangkabau, Boyan, Mandailing, Banjar, Kerinci dan beberapa lagi kumpulan kecil.

Selangor merupakan tempat di mana paling ramai penduduk keturunan Jawa tertumpu. Dalam usaha menelusuri sejarah kumpulan etnik ini, saya membaca buku Orang Jawa di Selangor: Penghijrahan dan Penempatan (1984) tulisan Khazin Mohd. Tamrin. Buku ini merupakan lanjutan daripada artikel beliau di Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies (1977).

Memanglah bahan dijadikan rujukan ini adalah buku dan jurnal lama, tetapi fakta dan data yang disajikan masih sesuai untuk menggambarkan sejarah orang Jawa dari 1880 hingga 1940. Fakta seperti inilah ingin saya ketahui demi memahami realiti komuniti Jawa yang kini semakin kehilangan identiti asal kerana dikenali dengan nama umum ‘Melayu’ sejak turun-temurun.

Menurut Khazim Mohd. Tamrin, terdapat perkampungan pedagang Jawa di sebelah Hilir Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bagaimanapun, penempatan itu mula hilang selepas penaklukan Portugis pada 1511.

Situasi berubah selepas British menjajah Tanah Melayu (Malaya) dan mula meneroka hutan untuk dijadikan ladang. Mulai 1880, ramai orang Jawa berhijrah dari Indonesia untuk memenuhi keperluan tenaga buruh di Malaya. Mereka datang melalui syarikat pengambilan pekerja yang beroperasi di Betawi (Jakarta), Surabaya dan Semarang.

Syarikat Mansfield di Singapura bertanggungjawab membekalkan 200 buruh Jawa ke Selangor pada 1887 dan seterusnya 200 orang lagi pada 1890. Turut berperanan membawa buruh Jawa ke Selangor ialah ejen dalam kalangan orang Jawa sendiri yang digelar ‘Sheikh.’

Sekiranya diteliti, konsep Sheikh ini sama seperti sistem kontrak yang digunakan British untuk membawa buruh Tamil dari India. Persamaan adalah di mana buruh terbabit tidak memiliki wang. Maka, segala kos mereka ditanggung ejen dan buruh terbabit terikat dengan kontrak bagi tempoh tertentu.

Buruh Jawa yang ditanggung oleh Sheikh dipanggil ‘orang tebusan’ manakala buruh yang mampu membayar kos pula digelar ‘boyongan.’ Semakin saya membaca buku tulisan Khazim, semakin banyak persamaan dapat diperhatikan pada nasib buruh Jawa dari Indonesia dan buruh Tamil dari India yang dibawa ejen dengan pelbagai muslihat dan janji demi memenuhi permintaan tenaga buruh.

FARDU HAJI

Ramai pula orang Jawa menjadi buruh ladang di Selangor kerana menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia. Modus operandi yang digunakan adalah mencari orang Jawa yang berhajat pergi ke Mekah untuk menunaikan fardu haji.

Sebaliknya, sindiket membawa mangsa di dalam kapal dari pelabuhan Semarang menuju Singapura. Setiba sahaja di destinasi, ejen sindiket di Singapura pula mengambil mangsa untuk dijual sebagai buruh kepada pemilik ladang di Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Apabila membaca tentang proses membawa buruh dari India dan China, kita akan melihat peranan ejen yang dinamakan kangani bagi buruh India dan kheh-tau bagi buruh Cina. Para Sheikh pula ada ejen dinamakan wereg di mana mereka menggunakan pelbagai muslihat dan janji manis untuk membawa buruh Jawa ke Malaya.

Kisah buruh Tamil, Telugu dan Malayali yang dibawa ke Malaya serta pembawaan buruh Cina melalui sistem Kangchu ke Johor boleh dibaca dalam buku Suvarna Bhumi (2022). Kita boleh melakukan perbandingan untuk melihat persamaan dengan buruh Jawa.

Pada mulanya, buruh Jawa tidak dapat menyesuaikan diri dengan orang Melayu di Malaya. Khazim menggunakan istilah ‘kerasan’, iaitu perkataan Jawa yang menggambarkan seseorang tidak tahan dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan sesuatu tempat.

Namun begitu, orang Jawa mula menyesuaikan diri apabila sudah tidak lagi menjadi buruh, sebaliknya memiliki rumah dan tanah sendiri untuk diusahakan. Ramai memutuskan untuk tinggal terus di Malaya, khususnya di Selangor. Tambahan pula, merekalah yang meneroka, membersihkan hutan dan memulakan kawasan penempatan. Maka, mereka mula merasakan ia tanah air sendiri.

Penempatan awal orang Jawa di Selangor adalah sepanjang tebing Sungai Selangor, Sungai Klang dan Sungai Langat. Penemuan bijih timah di lembah Sungai Klang sekitar 1850 menarik perhatian buruh Cina. Terdapat juga bukti kedatangan orang Mandailing, Rawa dan Batu Bara ke Selangor untuk terlibat secara kecil-kecilan dalam perlombongan bijih timah.

Antara kawasan penempatan orang Jawa pada 1860-an ialah Kampung Jawa, Klang. Kampung itu dipercayai diasaskan Haji Hussein dari Jawa dan Haji Mohamad Tahir dari Sumatera. Sebuah lagi perkampungan orang Jawa dibuka Haji Latip dari Semarang pada 1875 di Teluk Pulai, Klang.

Daerah Kuala Langat turut menjadi lokasi penempatan pilihan penghijrah Jawa. Permohonan orang Jawa untuk mendapatkan tanah mendapat kelulusan lebih segera berbanding permohonan orang Melayu tempatan. Sehingga 1888, dua kawasan baharu diteroka iaitu Kelanang oleh Haji Kei Abdul Kadir dan Tanjung Dua Belas oleh seorang individu bernama Sadik.

Menjelang akhir 1896, tanah seluas 1,000 ekar lagi diluluskan untuk diteroka orang Jawa. Usaha keras dan kerajinan peneroka Jawa mengusahakan tanah yang diberi ternyata menggembirakan pihak British.

Penempatan orang Jawa di Bukit Kapar dibuka Abdul Wahid bin Ahmad pada 1920, Meru dibuka Haji Sharif bin Haji Abdul Razak (1909), Kampung Rantau Panjang oleh Haji Sirat dan Raja Hasaan (1912) serta Kampung Sungai Jati oleh Haji Sidek dan Haji Mohd. Damin.

Walaupun kini digelar Melayu dalam semua dokumen rasmi, orang Jawa di Malaysia masih berbangga mengekalkan identiti dan jati diri. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×