KUALA LUMPUR: Kecewa dengan sikap segelintir individu yang dikenal pasti sebagai scammer, pihak pengurusan Nur Fazura, bakal mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba mengambil kesempatan terhadap selebriti terkemuka tanah air itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengurusnya, Iman Tang, berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang memandangkan ia merupakan satu perkara yang serius.
“Mewakili Fazura, dia tiada apa-apa nak cakap. Cuma, bagi pihak pengurusan, kita sudah serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa. Laporan polis juga sudah dibuat dan kita akan cari siapa si pelaku.
“Benda ini bukan cuma terjadi pada kami sahaja. Saya rasa artis-artis lain turut pernah mengalaminya. Malah, jika tidak diambil tindakan tegas, saya bimbang mungkin artis lain juga akan menjadi mangsa pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, aktres tersebut telah memuat naik satu hantaran di Instagram semalam berhubung tindakan beberapa penipuan dengan mengguna pakai nama dan wajahnya di media sosial.
Modus operandi scammer terbabit adalah dengan menawarkan harga minyak wangi semurah RM1 kepada pengguna.
“Maaf Faz terpaksa muat naik di sini (Instagram) memandangkan ramai sangat marah pasal penipuan ini. Faz jelaskan di sini, ini ialah satu niat tak baik demi keuntungan dengan menipu peminat Faz!
“Kepada semua yang bertanggungjawab ini, lebih baik hentikan sekarang sebelum Faz ambil tindakan!” katanya. – UTUSAN










