Moga Anwar terus bersemangat menoktahkan keperitan rakyat

Moga Anwar terus bersemangat menoktahkan keperitan rakyat

ANWAR Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETAHUN berlalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Kabinetnya terus bekerja keras mendepani segala ‘pancaroba’ dan meredah pelbagai cabaran untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang disegani di mata dunia.

Figura berusia 76 tahun itu mengambil langkah pertama selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November tahun lepas dengan mengumumkan untuk menolak gajinya selain berjaya mendapat kata sepakat memotong gaji menteri di bawah kerajaan perpaduan sebanyak 20 peratus setiap bulan sehingga ekonomi kembali rancak dan pulih.

Bahkan, dari hari pertama pelantikannya, Anwar terus menunaikan janji dan ikrarnya untuk memerangi rasuah dan penyelewengan di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan yang di matanya bagaikan menjadi sistem sehingga membobrok tadbir urus kerajaan.

Anwar dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri ke-10 berkata, beliau tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan rasuah dan penyelewengan.

Malah ketika merasmikan Himpunan Usahawan Bumiputera di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Ogos lalu, beliau mengatakan tetap akan menghentikan amalan rasuah walaupun terpaksa ‘menelan’ makian.

Dalam tempoh setahun ini, bukan sahaja ahli politik, tetapi anggota penguat kuasa turut dihadapkan ke mahkamah selepas disyaki terlibat dengan rasuah.

Beliau yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berjaya mendapatkan kepercayaan rakyat dengan mudah apabila dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri berikrar memahami dan menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat termasuk kenaikan kos hidup, selain menekankan tata kelola baik dalam pentadbirannya.

Ini adalah antara penyebab populariti Anwar berada di rating 68 peratus dalam tempoh lebih kurang tiga bulan menjadi Perdana Menteri, menurut tinjauan Merdeka Centre.

Anwar walaupun bertegas enggan membenarkan lagi pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menjamin masa depan persaraan pencarum serta meletak titik noktah terhadap subsidi dan kawalan harga ayam, namun beliau tidak membiarkan rakyat terkapai-kapai berdepan cabaran kos sara hidup, lagi-lagi selepas dugaan sepanjang pandemik Covid-19.

Dalam hal ini, kerajaan memperkenalkan inisiatif Payung Rahmah dan ia terus diperkasa dalam Belanjawan 2024 dengan peruntukan RM200 juta.

Bahkan pelaksanaan subsidi bersasar dengan menaikkan tarif elektrik kepada golongan mampu dan rasionalisasi subsidi diesel bukan sahaja dapat menangani perbelanjaan yang menjadi punca kepada ketempangan kewangan negara selain ketirisan berbilion ringgit, tetapi lebih memanfaatkan golongan B40 dan ke bawah selain menutup segala lubang ketirisan dan penyeludupan ke luar negara. Dengan Sistem Pangkalan Data (PADU) yang diwujudkan dapat menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.

BAHASA KEBANGSAAN

Sebagai seorang pencinta bahasa, Anwar yang merupakan tonggak negara terus mengangkat dan memartabatkan bahasa Melayu. Beliau tidak mahu lagi bahasa ibunda itu dipandang sebelah mata. Dan kerana itu, beliau meminta semua surat melibatkan sektor awam dan swasta perlu menggunakan bahasa Melayu.

“Jadi, saya ingin mengingatkan hal ini kalau dalam kalangan syarikat tempatan dan universiti tempatan termasuk universiti swasta, siapa saja menulis dalam bahasa selain bahasa kebangsaan, surat itu akan dipulangkan,” katanya dalam ucapan pelancaran Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Cyberjaya, Oktober lalu.

Arahan Perdana Menteri itu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa Melayu tidak boleh dipertikaikan mengenai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan selain kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi juga dinyatakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Dalam terus mengembangkan ekonomi negara, Anwar nampaknya berusaha keras dalam mewujudkan jaringan dan membawa pelabur asing ke negara ini. Antara kejayaan besarnya adalah berjaya mengadakan pertemuan melalui persidangan video bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk.

Perdana Menteri mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat tersebut di Malaysia dan juga kesediaan Elon Musk yang juga CEO Tesla Inc. untuk melabur dalam perkhidmatan satelit selain pembukaan ibu pejabat kenderaan elektriknya (EV) di Cyberjaya. Ini akan menjadi anjakan atau game changer untuk pelabur lain melabur ke negara ini.

Pada separuh pertama 2023, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) meraih RM132.6 bilion atau 60.3 peratus daripada sasaran tahunan melalui pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama melibatkan 2,651 projek dari Januari hingga Jun 2023.

Malah, baru-baru ini negara berjaya pula meraih pelaburan tambahan sebanyak RM60 bilion daripada Amerika Syarikat (AS) walaupun Malaysia lantang menyuarakan kekejaman Israel dan menyokong Palestin.

Pelaburan itu diperoleh beliau ketika mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, sekali gus membuktikan sokongan terhadap Palestin bukanlah halangan untuk meraih pelaburan daripada mana-mana pihak.

Anwar sebelum ini menyatakan ketegasannya terhadap penindasan dan serangan Israel terhadap Palestin di hadapan Presiden AS, Joe Biden di APEC.

Untuk tempoh 365 hari ini, Anwar berjaya membawa dimensi baharu negara dan semoga beliau terus bersemangat mengotakan janji-janjinya sekali gus menoktahkan keperitaan rakyat dan merancakkan semula ekonomi negara seperti suatu masa dahulu sepanjang tempoh perkhidmatannya. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×