PETALING JAYA: Ancaman bom palsu yang dihantar dua akaun emel menggunakan nama ‘taktstorer’ bukan sahaja menyasarkan Malaysia sebaliknya beberapa negara luar turut mendapat ancaman sama.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ancaman yang dilakukan kumpulan ini tidak menyasarkan sekolah di Malaysia sahaja.
Kata beliau, pertukaran maklumat akan dilakukan dengan negara-negara yang terlibat termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam mengenal pasti mereka terlibat.
“Bukan kita (Malaysia) sahaja menerima ancaman bom ini tetapi beberapa negara lain seperti Jerman, Amerika Syarikat juga menerima ancaman sama pada minggu ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, Razarudin menjelaskan, sebanyak 37 laporan telah direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung ancaman bom palsu membabitkan sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah antarabangsa dan sekolah swasta di seluruh negara sejak semalam hingga hari ini.
Daripada Jumlah itu, laporan tertinggi direkodkan di Selangor dengan 15 ancaman bom palsu diikuti Johor dan Kuala Lumpur (masing-masing enam laporan) ; Pulau Pinang (tiga laporan) ; Perak dan Negeri Sembilan (dua laporan) ; Sarawak, Kedah dan Sabah (satu laporan).
Ujar beliau, sebanyak 28 ancaman dibuat melibatkan sekolah antarabangsa diikuti sekolah swasta (tujuh) dan sekolah kelolaan KPM (dua).
“Kesemua ancaman ini dihantar menerusi emel [email protected] kepada emel sekolah terlibat,” katanya. – UTUSAN










