KUALA TERENGGANU: Gelombang pertama banjir akibat perubahan Monsun Timur Laut melanda negeri ini menyebabkan 325 orang daripada 106 keluarga di tiga daerah terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) semalam.
Setiu menjadi daerah terbaharu yang dilanda banjir dengan pembukaan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) menjadikan jumlah keseluruhan PPS di tujuh lokasi ketika ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, jumlah mangsa tertinggi yang dipindahkan adalah di daerah Kuala Nerus iaitu 176 orang daripada 64 keluarga.
Kesemua mereka kini berlindung di empat PPS di daerah tersebut.
“Di Kuala Terengganu pula terdapat dua PPS sedang beroperasi yang menempatkan 141 mangsa daripada 38 keluarga,” katanya semalam.
Secara keseluruhan, hujan yang melanda seluruh negeri menunjukkan penerimaan hujan yang sangat tinggi melebihi 200 milimeter terutama di daerah Kuala Terengganu.
Empat lagi daerah iaitu Kuala Nerus, Besut, Setiu dan Marang pula merekodkan penerimaan hujan melebihi 100 milimeter.
Sementara itu, paras air di sungai utama negeri ini menunjukkan tanda-tanda peningkatan ekoran cuaca hujan lebat berterusan sejak semalam.
Berdasarkan laman rasmi Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai di Kuala Nerus mencatatkan bacaan melebihi paras berbahaya.
Ia merekodkan bacaan 3.85 meter iaitu air Sungai Terengganu di parit Kampung Padang Kemunting dekat Kuala Nerus, iaitu melepasi paras berbahaya 3.80 meter setakat 4.30 petang.
Selain itu, dua lagi sungai turut menunjukkan paras bacaan meningkat melepasi paras amaran dan berwaspada.
Salah satu daripadanya adalah air Sungai Setiu dekat Jambatan Chalok, Kampung Chalok yang mencatatkan bacaan 8.38 meter berbanding paras normal 5 meter.
Paras air sungai sama di Kampung Besut juga dalam daerah Setiu pula berada pada paras 16.50 meter, melepasi paras normal 13.30 meter. – UTUSAN










