SHAH ALAM: Penganjuran Selangor Aviation Show (SAS) dan Selangor International Business Summit (SIBS) 2023 baru-baru ini berjaya mewujudkan peluang dan transaksi perniagaan bernilai RM7 bilion meningkat lebih 100 peratus berbanding tahun lalu.
Exco Pelaburan dan Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, peningkatan tersebut merupakan satu pertumbuhan positif membuktikan semakin banyak syarikat dari luar dan dalam negara yang ingin melabur di negeri ini.
“Untuk SAS2023, nilai potensi pelaburan berjumlah RM823 juta dengan sebanyak 28 memorandum persefahaman (MoU) daripada beberapa syarikat yang terlibat dalam industri aerongkasa berjaya termeterai.
“Manakala untuk SIBS2023, sebanyak 34 MoU daripada pelbagai syarikat daripada industri makanan, perubatan dan teknologi bernilai RM6.12 bilion berjaya termeterai,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Beliau menambah, sebanyak 76,466 pengunjung yang hadir pada dua program tersebut pada tahun ini, dengan kehadiran pengunjung daripada 83 buah negara.
Dalam pada itu, Sze Han memaklumkan impak positif program tersebut membolehkan anak syarikat kerajaan negeri, Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) akan terus menganjurkan program berkenaan pada tahun hadapan.
Melihat kepada kejayaan ini, Sze Han memaklumkan bahawa anak syarikat kerajaan negeri, Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) yang mengelolakan SAS dan SIBS akan meneruskan dua program ini pada tahun hadapan.
“SAS 2024 akan berlangsung pada 12 hingga 14 September tahun hadapan, manakala SIBS 2024 akan dijalankan sebanyak dua kali tahun hadapan, iaitu pada 25 hingga 27 Julai dan 17 hingga 19 Oktober.
“Kita harapkan nilai potensi pelaburan lebih tinggi serta lebih banyak MoU yang dapat termeterai pada dua program ini,” ujarnya. – UTUSAN










