Tiada penglibatan rakyat tempatan sebagai ejen perisik asing

Tiada penglibatan rakyat tempatan sebagai ejen perisik asing

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengakui kemungkinan kehadiran ejen perisikan asing termasuk Mossad di negara ini bagi menjalankan kegiatan mengintip, namun tidak ada warga tempatan yang terbabit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini risikan mendapati rakyat tempatan yang dikaitkan dengan ejen tersebut hanya diupah menjalankan tugas tertentu sahaja.

Bagaimanapun menurut beliau, setakat ini, pihaknya hanya mengesan penglibatan rakyat tempatan yang diupah untuk tugas tertentu tanpa mengetahui identiti sebenar pihak yang mengupah mereka.

“Ini berlaku kepada 11 warga tempatan ini yang didalangi seorang wanita didapati terlibat menculik seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit September tahun lalu.

“Suspek utama yang bekerja sebagai penyiasat persendirian diupah dengan ganjaran lumayan oleh pihak di luar negara sehinggakan sebenarnya mereka diupah dengan ejen perisikan luar dan akhirnya diberkas polis,” katanya di sini hari ini.

Justeru, pihak polis sentiasa melakukan risikan dan pemantauan sentiasa dilakukan bagi memastikan tahap keselamatan negara terjamin.

Razarudin mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya melibatkan diri dengan hal yang berisiko tinggi dan dengan bayaran yang lumayan.

Bagaimanapun, tegas Razarudin, tiada sebarang penglibatan rakyat tempatan setakat ini dikesan ‘bekerja’ sebagai ejen perisikan luar di negara ini.

Malah, sememangnya di bawah tanggungjawab PDRM bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman di bawah Seksyen 3 (Akta Polis 1967) iaitu mengumpul maklumat perisikan.

“Menjadi keutamaan pihak polis untuk melindungi dan menjaga keamanan negara daripada sebarang ancaman. Sekiranya terdapat anasir-anasir jahat, pihak polis sudah tentu akan melakukan tindakan sepatutnya,” ujar beliau.

Pada 14 Oktober 2022, seramai 10 lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat rahsia berkaitan penggodaman telefon bimbit pada akhir bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa dengan secara niat bersama menahan Omar Z.M Albelbaisy Raeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini pukul 10.40 malam pada 28 September lalu (2022) yang didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pada April 2018, pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr. Fadi M R Albatsh yang juga imam dari Palestin ditembak mati di kawasan pejalan kaki di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, di sini, ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh pada pukul 6 pagi.

Siasatan awal polis mendapati dua lelaki bermotosikal dikatakan menunggu mangsa kira-kira 20 minit sebelum melepaskan 10 das tembakan ke arah mangsa berusia 35 tahun itu.

Pemeriksaan awal mendapati terdapat empat kesan tembakan dikesan pada badan mangsa yang juga pensyarah kejuruteraan elektrik itu.

9 Januari 2022, jurucakap Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Negara Palestin, Iyad Albizm, mengesahkan telah menahan seorang suspek pembunuhan Dr. Fadi namun tidak mendedahkan lokasi dan maklumat berkaitan penahanannya.

Berdasarkan semakan, setakat tahun 2009, seramai tujuh ejen perisik asing daripada 74 orang masih ditahan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×