Lupa SOP bila ambil anak di sekolah - Utusan Malaysia

Lupa SOP bila ambil anak di sekolah

kesesakan di luar kawasan sekolah sewaktu ibu bapa menjemput anak balik sekolah, tular kerana tidak patuh SOP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBUKAAN semula sesi persekolahan sejak Isnin lalu selepas tertangguh kira-kira empat bulan susulan pandemik Covid-19 sudah pasti membuatkan ibu bapa menarik nafas lega. Sebabnya, anak-anak boleh meneruskan pembelajaran tanpa perlu secara maya.

Dalam pada kegembiraan melihat anak-anak berpakaian seragam sekolah dan meneruskan sesi persekolahan seperti biasa, timbul pula cerita yang kurang menarik.

Ia apabila ibu bapa lupa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa mengambil anak masing-masing selepas tamat persekolahan.

Sebuah video tular baru-baru ini, memperlihatkan keadaan selepas tamat sesi pagi di sebuah sekolah di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor apabila ibu bapa dan penjaga bersesak-sesak di pintu keluar sekolah untuk mengambil anak masing-masing.

Menjengah di ruangan komen, rata-ratanya meluahkan tidak senang dengan keadaan itu kerana anak-anak sudah mematuhi SOP dengan baik di sekolah.

Sebaliknya, ibu bapa pula seakan-akan lupa dengan pematuhan penjarakan fizikal yang perlu dipatuhi.

Ada warganet, mencadangkan agar pihak sekolah membuat banyak laluan keluar pelajar, membuat sistem penggiliran mengikut kelas dan pelajar perlu terus bergerak ke dalam kenderaan tanpa ibu bapa perlu ‘sibuk’ merekod video anak-anak mereka.

 

 

IG The Rock DIPENUHI KOMEN ‘SUNNAH RASULULLAH’ 

Aksi The Rock selepas selesai berbekam.

AHLI gusti yang juga selebriti popular Amerika Syarikat, (AS) The Rock atau nama sebenarnya, Dwayne Johnson menarik perhatian ramai apabila dia memuat naik gambar melakukan rawatan bekam buat pertama kali seumur hidupnya.

Menerusi kapsyen di gambar yang menunjukkan belakang badannya selepas berbekam, dia teruja dan berpuas hati dengan rawatan tersebut.

“Ini kali pertama saya melakukan bekam. Nampak lebih berbentuk daripada apa yang dirasai. Tapi secara keseluruhannya, saya sangat menikmati terapi ini,” tulisnya di Instagram (IG).

Rata-rata pengikut aktor berusia 49 tahun ini meninggalkan komen dengan menyatakan bahawa bekam bukanlah kaedah baharu.

Ia sudah menjadi amalan atau sunnah Rasulullah dan sahabat baginda.

“Ini adalah sunnah Islam daripada Rasulullah SAW iaitu Nabi Muhammad,” tulis Mohamed.

Berbekam adalah salah satu kaedah perubatan alternatif yang telah lama dipraktikkan.

Antara manfaat berbekam adalah melegakan ketegangan otot, melancarkan aliran darah dan mengurangkan sakit kronik.

 

 

PELAJAR UiTM GELAR DIRI QUEEN OF PART TIMER

SEORANG gadis menggelarkan dirinya sebagai Queen of Part Timer dalam video Tik Tok miliknya yang tular baru-baru ini.

Sebabnya, dia gemar bekerja sambilan di enam tempat kerja berlainan setiap kali cuti semester.

Nurin Alina Abdul Halim, 22, berkata, idea untuk mengambil video itu terinspirasi daripada Chemell yang popular di Tik Tok.

“Ketika itu saya sedang mengemas bilik dan terjumpa kesemua baju yang pernah dipakai untuk bekerja sambilan dan secara tiba-tiba perasaan rindu nak pakai baju-baju ini.

“Maka tercetuslah idea untuk bertukar-tukar baju seragam kerja sambilan yang pernah saya bekerja sebelum ini,” katanya.

Nurin Alina mengayakan baju seragam tempatnya bekerja sambilan setiap kali cuti semester.

 

Nurin memulakan kerja sambilan sejak berusia 18 tahun dan pernah bekerja di beberapa syarikat ternama seperti Jakel di Kuala Terengganu, Texas Chicken dan Nandos di One Utama, McDonald’s Bandar Utama, Kyochon Setia City Mall dan Ikea di Damansara.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Insurans, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Puncak Alam ini tidak menyangka videonya itu tular kerana memberi inspirasi kepada ramai untuk tidak mensia-siakan cuti semester dan peluang pekerjaan yang ada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×