Pilih untuk mencabar! - Utusan Malaysia

Pilih untuk mencabar!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini, seluruh dunia menyambut Hari Wanita Antarabangsa. Sambutan ini bertujuan meraikan pencapaian wanita dalam bidang sosial, ekonomi, budaya dan politik; meningkatkan kesedaran tentang kesetaraan gender; melobi untuk merapatkan perbezaan antara gender; dan mengumpul dana bagi memelihara kebajikan wanita.

Di Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meraikan Sambutan Hari Wanita 2021 bertemakan Wanita Bangkit Mendepani Cabaran. Tema ini dipilih bagi mengangkat semangat juang wanita yang tidak mengenal penat lelah dalam mengharungi cabaran kehidupan.Antara objektif sambutan pada tahun ini adalah memberi pengiktirafan khas kepada wanita atas sumbangan mereka dalam pelbagai bidang, baik secara langsung mahupun tidak langsung dalam membangunkan negara. Selain itu, sambutan ini juga merupakan tanda keprihatinan kerajaan terhadap peranan penting wanita sebagai penggerak utama kemajuan negara, pembangunan institusi keluarga dan pengukuhan masyarakat penyayang.

Saya amat tertarik dengan tema sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 pada peringkat antarabangsa, iaitu #ChooseToChallenge atau jika penulis boleh terjemahkan, #PilihUntukMencabar. Tema ini mengajak kita semua, baik lelaki mahupun wanita, untuk mencabar (yakni menentang) gender bias dan ketidakadilan terhadap wanita. Tema ini dipilih kerana dipercayai bahawa dunia yang menentang ketidakadilan terhadap wanita merupakan dunia yang peka.

Tema sambutan Hari Wanita Sedunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, didapati membawa tema-tema yang bukan sahaja mengajak wanita untuk berubah dan membawa perubahan, tetapi juga mengajak kaum lelaki untuk turut serta. Hal yang demikian kerana nasib kaum wanita tidak akan banyak berubah jika hanya mereka yang menggerakkannya. Perubahan itu memerlukan keinginan, usaha dan kesungguhan daripada kedua-dua pihak.

Perkara ini turut mengingatkan saya kepada kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Baginda merupakan orang pertama yang mencabar atau menentang gender bias dan ketidakadilan terhadap wanita.

Ketika masyarakat baginda malu dan benci apabila dikurniakan dengan anak perempuan lalu menanam bayi itu hidup-hidup, baginda mengajak masyarakatnya menjaga anak-anak perempuan dengan sebaik-baiknya dengan jaminan syurga bagi mereka yang membesarkan dan memelihara tiga orang anak perempuan (hatta dua orang, mahupun seorang).

KHULUK

Ketika kaum wanita pada zamannya meminta masa khusus untuk belajar agama daripada Baginda tanpa perlu berebut dengan kaum lelaki, baginda memenuhi permintaan tersebut. Ketika para suami diberi hak untuk menjatuhkan talak ke atas isteri mereka, baginda membenarkan wanita untuk keluar daripada perkahwinannya melalui khuluk.

Kisah ini adalah sebahagian daripada pelbagai kisah Rasulullah SAW yang telah mencabar dan menentang atau menghentikan gender bias dan ketidakadilan terhadap wanita. Tidak mahukah kita, baik lelaki mahupun perempuan, mencontohi baginda?

Di negara kita dalam suasana meraikan Hari Wanita Sedunia ini, pelbagai gender bias dan ketidakadilan terhadap wanita sedang berlaku, khususnya dalam ruang lingkup rumah tangga.

Jika kita mengikuti akaun Facebook milik Syed Azmi dan IIUM Confessions – BM, kita dapati pelbagai kes dan kisah gender bias dan ketidakadilan terhadap wanita berlaku dalam masyarakat kita.

Ada isteri terpaksa menanggung nafkah keluarga kerana suami tidak melaksanakan tanggungjawab mereka, baik dalam perkahwinan monogami mahupun poligami. Ada suami menghalau isteri dari rumah ketika menceraikan mereka sedangkan Islam menetapkan tempat isteri yang diceraikan adalah di rumah kelaminnya sepanjang waktu idah. Ada isteri yang pada waktu siangnya ditumbuk dan disepak terajang tetapi pada waktu malamnya dituntut hak oleh suami di atas ranjang.

Jika perkahwinan itu menyeksa sesetengah wanita, penceraian dan menjadi ibu tunggal juga tidak memudahkan hidup mereka. Ramai ibu tunggal yang berhempas pulas menyara anak-anak kerana sikap lepas tangan bekas suami. Sesekali kita digemparkan dengan berita penangkapan ibu tunggal yang mencuri atau melacur untuk menyara hidup anak-anak sedangkan bekas suami yang wajib memberikan nafkah kepada anak-anak, bebas daripada tanggungjawab itu.

Kini, pandemik Covid-19 menyukarkan lagi kehidupan ibu tunggal. Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dalam laporan Families on the Edge 2020 mendapati kira-kira 32 peratus isi rumah ibu tunggal hilang pekerjaan sejak Mac 2020 manakala 57 peratus tiada capaian kepada perlindungan sosial. Mereka memerlukan bantuan seperti peluang pekerjaan atau peluang perniagaan termasuk modal, ruang dan peralatan berniaga untuk meneruskan hidup.

Tidak mahukah kita #ChooseToChallenge untuk memperbaiki keadaan wanita-wanita ini?

Mencabar atau menentang gender bias dan ketidakadilan terhadap wanita boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Pada peringkat ibu bapa, mereka boleh menegur anak lelaki yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anak. Pihak berkuasa boleh menghukum ayah yang tidak memberi nafkah kepada anak-anak. Pembuat keputusan boleh mewujudkan undang-undang baharu demi memberi keadilan terhadap wanita. Institusi tertentu boleh mengumpul dana khusus untuk menjaga kebajikan wanita.

Dengan Rasulullah SAW menjadi model ikutan kita dalam hal ini, ayuh mari kita #ChooseToChallenge!

PENULIS ialah Felow Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×