PETALING JAYA: Seramai 10 Orang Kelainan Upaya (OKU) menerima bantuan peralatan penanaman Melon Manis Terengganu (MMT) selepas berjaya menamatkan kursus pendek anjuran penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Penyelidik Sains Tanaman di Fakulti Perikanan dan Sains Tanaman UMT, Ts. Dr. Wan Zaliha Wan Sembok berkata, projek berbentuk pemindahan ilmu, merupakan usaha berterusan UMT bagi membantu golongan OKU cacat penglihatan menjana pendapatan sampingan.
Beliau berkata, melihat kepada kesulitan dan cabaran golongan berkenaan meneruskan kehidupan, pihaknya melalui kerjasama beberapa agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memulakan inisiatif mewujudkan projek Blind Planters bagi membantu golongan itu menjana kewangan sendiri.
“Asasnya, kami perkenalkan modul braille kaedah penaaman MMT kepada mereka untuk memudahkan proses pemindahan ilmu secara teori,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, setiap peserta dibantu oleh ahli keluarga masing-masing bagi memudahkan mereka melakuan aktiviti penanaman secara amali di lokasi masing-masing.
Katanya, projek yang dijalankan berjaya mengeluarkan hasil sebanyak 150 biji MMT dengan anggaran nilai pulangan RM1,500.
Tambahnya, purata berat hasil tuaian 1.3 kilogram dan satu musim tanaman melon mengambil masa tiga bulan
serta menjadikan purata jumlah pendapatan sampingan kira-kira RM500 sebulan hasil
daripada penanaman MMT sahaja.
“Pelbagai projek lain yang telah kami jalankan dan berjaya mengubah taraf ekonomi golongan sasar seperti projek tanaman syuran secara hidroponik, tanaman cendawan, tomato ceri, strawberi, salad dan lain-lain,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Cacat Penglihatan Terengganu (SBM), Mohd. Imranfaisal Zulkifli melahirkan rasa syukur atas bantuan yang dberikan oleh UMT dan agensi terlibat.
“Kami juga berterima kasih kepada Yayasan Hasanah atas sumbangan dana bernilai RM250,000 bagi penyediaan peralatan penanaman Melon Manis Terengganu ini dan kami akan cuba lakukan sebaik mungkin untuk membaiki kualiti kehidupan kami”. Katanya. – UTUSAN










