MASYARAKAT mentafsir dan menilai maksud pemerkasaan belia dalam pelbagai perspektif berbeza. Jika dilontarkan soalan ini, berkemungkinan besar akan mendapat jawapan yang pelbagai. Hal ini dapat dilihat dengan jelas melalui pendapat-pendapat yang diutarakan ahli akademik, pemimpin politik dan golongan belia itu sendiri.
Ada yang mentafsir pemerkasaan belia daripada sudut mengintegrasikan golongan itu ke dalam proses membuat segala keputusan, manakala ada sesetengah pihak berpendapat belia harus diberikan kuasa serta kebebasan sepenuhnya untuk bertindak dan bersuara tentang apa-apa sahaja. Tidak kurang yang sengaja membuat tafsiran sendiri bagi tujuan mahu mencapai maksud-maksud yang tertentu.
Saya melontarkan soalan ini dalam dua sesi berbeza semasa Persidangan Global Regional Centres of Expertise (RCE) ke-13 yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), minggu lalu. Benar seperti jangkaan, jawapan-jawapan yang diterima ternyata begitu berbeza sekali.
RCE ialah rangkaian global di bawah Institut Kajian Lanjutan Kemampanan, Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU-IAS) bertujuan memperkasakan pendidikan pembangunan mampan. Persidangan dwitahunan ini mengumpulkan pemimpin RCE daripada seluruh dunia dengan kali ini membawa tema Pendekatan komuniti menyeluruh untuk pendidikan pembangunan mampan. Maka pengintegrasian golongan belia dalam penilaian menjadi sesuatu yang banyak dibicarakan.
Ketika menjadi pemudah cara sesi perbincangan panel yang bertajuk, Memperkasakan belia untuk pendekatan komuniti menyeluruh, saya mengutarakan soalan tersebut kepada Penyelaras Belia RCE bagi kawasan utara dan selatan Amerika Syarikat (AS), Oriana Silva.
Kata Oriana, belia mempunyai tenaga, idea serta perasaan dan emosi yang membara. Maka, untuk memperkasakan belia, maka golongan ini memerlukan nasihat, bimbingan serta pertolongan daripada mereka yang berpengalaman untuk merangsang idea serta menjadikannya tahan lasak, mampan dan berkesan terhadap komuniti.
Tambah Oriana, belia bukan sekadar diberi peluang untuk memberi idea tetapi lebih penting jika dapat bekerjasama dengan mereka yang profesional dalam bidang masing-masing. Di samping itu, belia juga harus diberikan sokongan serta bimbingan untuk merealisasikan idea mereka.
Keesokan harinya, ketika mempengerusikan sesi Bengkel Pemerkasaan Belia RCE, saya melontarkan soalan sama kepada delegasi yang terdiri daripada wakil belia RCE luar negara dan pemimpin-pemimpin pelajar UIAM. Oleh kerana saya melontarkan soalan tersebut secara terbuka kepada semua peserta, maka, pelbagai jawapan telah diberikan termasuk demonstrasi jalanan.
Pendapat itu disangkal keras dengan pelbagai hujah konkrit oleh mereka yang menentang tindakan berbentuk kekerasan sebegitu. Suhu perbincangan tiba-tiba menjadi panas dan kemudiannya bertukar menjadi perdebatan apabila masing-masing berhujah mempertahankan pendapat mereka. Sayangnya, sebagai pengerusi perbincangan, saya tidak dapat turut sama berdebat bersama mereka.
Bagi saya, perdebatan ialah satu aktiviti sihat yang dapat mematangkan pemikiran.
Pemerkasaan memerlukan kematangan fikiran serta kebijaksanaan dan bukannya sikap angkuh, keras kepala, prokeganasan dan sikap mementingkan diri sendiri. Budaya menentang autoriti yang sering dimomokkan sebagai memperjuangkan hak kebebasan hanya akan membawa kepada sikap suka memberontak.

MENJERIT, MENANGIS
Pemerkasaan belia bukan bermakna sikap tunjuk kuat atau mendapat kuasa serta kebebasan untuk bertindak, bersuara atau menuntut apa sahaja yang mereka mahukan. Tiada gunanya mahasiswa mendapat kuasa dan suara yang lebih besar melalui kesatuan mahasiswa sekiranya mereka hanya tahu cara turun ke jalanan sebagai protes tentang itu dan ini.
Janganlah bersikap seperti kanak-kanak manja yang hanya pandai menjerit dan menangis demi perhatian agar setiap kemahuan mereka dituruti tanpa mampu mencari jalan yang rasional untuk menyelesaikan masalah. Adakah itu sikap yang harus dibanggakan oleh belia?
Kita sering mendengar kata-kata seperti jika diberikan ikan kepada seseorang, nescaya dia akan kenyang sepanjang hari. Namun jika diberikan joran, maka dia akan kenyang sepanjang hayat.
Namun begitu, pemerkasaan mempunyai skop yang lebih luas daripada sekadar memberi joran semata-mata. Ia merangkumi perkongsian ilmu serta memberi kepakaran kepada golongan yang mahu diperkasakan agar berupaya memasarkan dan membina satu perusahaan perikanan.
Pemerkasaan belia bermakna golongan ini diperkasakan terutamanya dalam bidang keilmuan dan kemudiannya mendapat peluang yang adil dalam pekerjaan. Suara belia juga harus didengar dan mereka diajak berunding terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan masa depan dan hal ehwal belia.
Pihak yang mempunyai autoriti pula harus bersikap terbuka dan tidak bersikap jumud dalam membuat keputusan. Mereka seharusnya membimbing dan bukannya mengamalkan sikap mengarah tanpa mendengar suara belia. Tiada siapa yang sempurna, maka yang berkuasa tidak harus bersikap kuku besi. Belia pula harus bersikap rasional dalam menyelesaikan masalah.
RCE amat menitikberatkan hubungan belia sesama komuniti dalam usaha memperkasakan golongan muda itu. Belia harus mampu menggerakkan komuniti serta belajar daripada mereka untuk kesejahteraan hidup bersama. Mahasiswa pula tidak harus hanya menghafal teks semata-mata tanpa mampu mengaplikasikan apa yang dipelajari di dewan kuliah dalam usaha menyelesaikan masalah masyarakat.
Ia juga harus menjadi perkara teras dalam usaha merangka pendidikan masa depan negara.
Negara mesti bergerak ke hadapan dan mampu bersaing dengan di peringkat global agar kita tidak dipijak-pijak oleh pihak berkepentingan. Maka, sistem pendidikan tinggi negara mesti disesuaikan agar memenuhi dengan kehendak serta selaras dengan cabaran pada masa depan.
Mampukah kita melakukannya? Tiada kejayaan yang datang bergolek tanpa usaha bersungguh-sungguh. Walau bagaimanapun rintangannya, kita harus terus berusaha keras sehingga berjaya.
Genggam bara api biar sampai jadi arang. Ayuh, kita perkasakan belia negara!-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










