Pesawah Perlis bimbang risiko tidak tanam padi

Pesawah Perlis bimbang risiko tidak tanam padi

SEORANG pesawah melihat keadaan bendangnya yang mungkin tidak akan ditanam padi disebabkan masalah kelewatan benih padi di Bakong, Arau, Perlis, semalam. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Para pesawah di negeri ini bimbang kemungkinan besar mereka tidak dapat menanam padi musim ini berikutan isu kelewatan dan ketiadaan bekalan benih yang masih belum ada tanda-tanda untuk selesai.

Kebimbangan tersebut juga dirasai puluhan ribu lagi pesawah di Kedah yang ketika ini hanya sekitar 10.1 peratus sahaja dapat memulakan tanaman sedangkan musim kedua tanaman padi sudah bermula akhir September lalu.

Mereka yang sudah lewat hampir dua bulan daripada jadual penanaman juga bakal berdepan risiko jika masalah kelewatan tersebut terus berlarutan memandangkan bakal bertembung musim kemarau Disember ini.

Malah, kelewatan tersebut bakal menyebabkan hasil pesawah yang kelaziman sekitar lima hingga enam tan metrik per hektar jika mengikut jadual tanaman sebetulnya bakal menyusut lebih 50 peratus iaitu antara dua ke tiga tan metrik sekali gus menyebabkan golongan berkenaan menanggung kerugian.

Dilema itu dihadapi 15,960 pesawah di negeri ini dan puluhan ribu lagi pesawah di Kedah yang hampir 90 peratus khususnya di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih gagal mendapatkan bekalan benih.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah yang sudah 40 tahun mengusahakan tanaman padi, Mohd. Noor Hashim, 60, berkata, kelewatan penanaman padi bakal menyebabkan hasil menyusut lebih separuh disebabkan pelbagai risiko.

Katanya, kelaziman jika tanaman mengikut jadual, dia mampu menghasilkan lima sehingga enam tan per hektar dan berkemungkinan menyusut sehingga separuh antara dua ke tiga tan metrik sahaja jika tanaman tidak mengikut jadual ditetapkan yang sepatutnya bermula pada akhir September lalu.

Malah katanya, isu kelewatan tanaman juga menyebabkan pesawah bakal mengalami kerugian sekitar RM2,000 per hektar.

“Lebih merisaukan besar kemungkinan musim ini pesawah tidak dapat menanam padi kerana sudah memasuki pertengahan November benih masih tidak ada. Masih ramai pesawah yang tidak dapat memulakan tanaman.

“Apabila memasuki Disember, sudah musim kemarau yang tanaman padi memerlukan air 90 sehingga 95 hari. Masalah bekalan benih padi dilihat paling teruk. Jika sebelum ini, paling lewat sebulan, sekarang sudah masuk dua bulan,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, kerja-kerja menanam musim kedua padi di Perlis dan Kedah terganggu apabila kira-kira 90 peratus pesawah dalam kawasan MADA gagal mendapatkan bekalan benih padi sah (BPS).

Krisis yang disifatkan paling buruk itu menyebabkan hanya 7.4 peratus daripada 9,171 pesawah MADA di Perlis dan 10.1 peratus pesawah di Kedah dapat memulakan tanaman padi mulai akhir September lalu.

Masalah sama turut berlaku di luar MADA di negeri ini apa-bila hanya sekitar 60 peratus daripada 6, 789 pesawah sudah memulakan tanaman. la mengakibatkan jadual penanaman jauh tersasar sekali gus akan memberi kesan kepada hasil tuaian pada Februari 2024.

Tambah Mohd. Noor, dia melihat punca kelewatan benih padi disebabkan syarikat-syarikat pembekal cuba bermain harga dengan mahu tidak mahu pesawah terpaksa membeli meskipun dengan harga tinggi.

“Ketika ini, pesawah terpaksa beli meskipun harga mencecah sehingga RM55 sekampit. Kita berharap kerajaan dapat menyelesaikan krisis bekalan benih padi ini. Tidak ada benih bagaimana pesawah hendak mengusahakan tanaman padi sekali gus turut bakal memberi kesan kepada keterjaminan makanan kita.

“Dalam masa sama, kerajaan perlu tegas agar pembekal-pembekal atau kilang ini menjual dengan harga ditetapkan iaitu RM40 sehingga RM45,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Dimat Kamis, 70, pula berkata, masalah kelewatan benih menyebabkan dia berputus asa untuk menanam padi musim ini yang bakal mengundang pelbagai risiko khususnya apabila tiba musim menuai nanti.

“Sekarang sudah tersasar jauh daripada jadual tanaman dan andai ditanam juga dikhuatiri hasil bakal berkurangan kerana bakal berdepan musim kemarau selepas ini. Saya juga hairan setiap musim masalah sama berulang dengan semakin hari semakin teruk,” katanya.

Untuk musim tanaman kali ini, keseluruhan pesawah dalam kawasan MADA di negeri ini memerlukan sekitar 115,057 kampit benih padi manakala petani di luar kawasan MADA pula memerlukan 28,412 kampit bekalan benih berkenaan membabitkan keluasan kawasan tanaman 28,003 hektar di negeri ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×