Modal RM1,000 boleh bercuti di Langkawi atau Hatyai?

Modal RM1,000 nak bercuti di Langkawi atau Hatyai?

langkawi
BIJAK menguruskan perbelanjaan membolehkan anda pergi melancong sama ke Langkawi atau Hatyai, Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Percaya atau tidak, dengan modal RM1,000 anda boleh bercuti di Langkawi atau Hatyai.

Utusan Malaysia membuat perbandingan mengenai kos ka­sar bagi sebuah keluarga bersa­ma orang tiga anak untuk bercuti selama tiga hari dua malam.

Dalam perbandingan ini, kos perjalanan hanya diambil kira bermula dari Alor Setar atau Perlis walaupun pelancong berasal dari Johor, Pahang atau Lembah Klang agar perbezaan perbelanjaan ke Hatyai atau Langkawi dapat dibuat.

Bagi sepasang suami isteri yang menaiki feri dari Kuala Perlis bersama tiga anak mereka berusia bawah 12 tahun, seba­nyak RM180 diperlukan untuk perjalanan dua hala dan tambahan kira-kira RM49 diperlukan jika memilih Jeti Kuala Kedah untuk ke Langkawi.

Selepas itu, kenderaan mereka yang diletakkan di parkir ke­dua-dua jeti tersebut dicaj antara RM10 ke RM15 per hari. Kemudian apabila sampai di Terminal Feri Pulau Langkawi, mereka perlu menyewa kende­raan sebagai pengangkutan untuk mengelilingi pulau legenda itu.

Misalnya jika menyewa ken­deraan yang paling kecil ditawarkan iaitu Perodua Axia, caj antara RM100 ke RM120 dikenakan sehari pada waktu kemuncak atau sepanjang cuti umum dan cuti persekolahan.

Bagi keluarga kecil mungkin mereka tidak berdepan masalah untuk menyewa Perodua Axia dan kos akan semakin meningkat sekiranya memerlukan kenderaan lebih besar untuk kese­lesaan sepanjang bercuti bagi yang memiliki anak-anak ber­usia remaja.

Walaupun mempunyai pilihan untuk membawa masuk ken­­deraan sendiri ke Pulau Lang­­kawi, perbezaan harga de­ngan feri penumpang tidak terlalu banyak iaitu RM478.90 bagi sebuah kereta sedan 1500cc termasuk empat tiket penumpang.

Setelah selesai bab kende­raan termasuk mengisi petrol RM50 jika menyewa, proses seterusnya adalah menuju ke hotel penginapan yang mengambil kira bilik keluarga bagi kategori sederhana antara RM180 ke RM250 per malam.

Perbelanjaan setakat itu sahaja sudah melebihi RM500 yang belum dicampur dengan kos makanan, memasuki tempat tarikan utama atau berbe­lanja barangan seperti coklat, pinggan mangkuk dan kain batik.

Berbanding ke Hatyai atau Satun di Thailand, modal perjalanan lebih banyak dijimatkan antaranya tiada kos membawa masuk kenderaan kecuali insu­ran wajib yang hanya berharga puluhan ringgit bagi tempoh sembilan hari dan bayaran pemandu serta penumpang yang hanya sekitar puluhan baht.

Jika memilih menaiki kereta api dari Padang Besar, Perlis pula harga tambangnya hanya RM8 sehala ke Stesen Keretapi Hatyai bagi setiap penumpang dan menginap di hotel sekitar pekan itu yang berjarak lingku­ngan lima kilometer.

Hatyai umpamanya menawarkan banyak pilihan hotel se­kitar RM150 per malam bagi bilik kategori keluarga dengan penyediaan sarapan pagi serta kemudahan van transit ke ste­sen kereta api atau stesen bas selain banyak restoran atau gerai makan dengan harga berbaloi.

Maka melihat kepada kadar perbezaan kos antara kedua-dua lokasi itu, tidak mustahil Hatyai akan terus menjadi pilihan pelancong Malaysia untuk bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan berbanding ke Langkawi.

Walaupun ada pihak yang menyatakan tidak adil membuat perbandingan antara kedua-dua lokasi itu kerana faktor Langkawi sebagai sebuah pulau dan Hatyai bersambungan jalan darat dari Malaysia, tetapi itulah realiti yang berlaku hari ini apabila ramai lebih memilih negara jiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×