Tandas lima bintang bukan hanya tugas guru, sekolah

Tandas lima bintang bukan hanya tugas guru, sekolah

TANDAS kotor, tersumbat, tiada pintu, paip bocor dan berkarat serta air dan kumbahan melimpah sudah tentu menyebabkan murid berasa kurang selesa. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BERSIHNYA tandas sekolah kita,” ujar Ameerul, murid tahun satu.

“Setelah enam tahun belajar di sini, barulah saya dapat rasakan tandas bertaraf hotel,” tambah Aishah, kakak Ameerul dengan senyuman seribu bahasa.

Perbualan inilah yang kini berkumandang dan menjadi topik hangat dalam kalangan murid di segenap kawasan sekolah di seluruh negara. Suatu situasi yang sememangnya diidamkan oleh lebih enam juta pelajar di 8,354 sekolah di negara kita.

Apakah yang menjadi asas perbualan ini?

Pelancaran program pembudayaan penjagaan tandas dan penarafan kebersihan tandas sekolah oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menampakkan impak positif terhadap budaya penggunaan tandas dalam kalangan murid-murid.

Program ini merupakan usaha Kementerian Pendidikan (KPM) melibatkan perbelanjaan sebanyak RM70,000 untuk sebuah sekolah di seluruh negara menerusi kelulusan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menaik taraf tandas di sekolah daif dan memberikan suatu cerminan budaya dalam kalangan pelajar.

Projek ini juga bertepatan dengan slogan Anak Baik Lagi Cerdik (ABC) diperkenalkan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pembentukan murid bertunjangkan karamah insaniah akan tercapai jika persekitaran sekolah selamat dan bersih.

Konsep ABC ini mampu melahirkan anak yang unggul dari aspek adab, akhlak dan integriti. Pembentukan sahsiah berpusatkan karamah insaniah ini merupakan satu proses yang memerlukan jangka masa panjang dan berterusan. Komitmen para pentadbir sekolah, guru, pekerja sekolah, pengusaha kantin, pengawal keselamatan malahan ibu bapa amatlah diidamkan. Semua pihak harus berganding bahu dalam menjayakan projek ini.

Keadaan tandas yang kotor, tersumbat, tiada pintu, paip bocor, paip berkarat, air melimpah dan kumbahan melimpah sudah tentu menyebabkan murid merasakan keadaan yang kurang selesa, malahan boleh mengakibatkan mereka mengalami tekanan dari segi emosi. Kemudahan tandas yang kurang memuaskan boleh membawa impak negatif terhadap emosi dan kesihatan murid.

SARANG

Natijahnya, murid akan hilang tumpuan dalam pelajaran dan menyebabkan prestasi akademik menurun. Kadar ketidakhadiran ke sekolah akan meningkat kerana tandas yang kotor dan tidak selamat menjadi sarang tersebarnya pelbagai penyakit bawaan vektor. Situasi ini kita perlu tangani dengan kadar segera agar proses pembentukan anak watan yang sempurna dalam semua aspek dapat direalisasikan.

KPM telah mengorak langkah tepat dalam menyemai budaya ABC dengan penambahbaikan taraf tandas sedia ada ke taraf hotel terkemuka di negara ini. Projek ini diharapkan dapat memberikan satu cerminan sikap dan keperibadian mulia dan tinggi. Aspek kebersihan sekolah adalah tunjang utama dalam pembentukan masyarakat madani dari konteks amalan budaya yang tinggi berpaksikan Falsafah Pendidikan Negara. Budaya tinggi yang menerapkan sikap bertanggungjawab, bersih dan amanah (amanah dari konteks menjaga kebersihan untuk kegunaan bersama) mampu melahirkan modal insan yang karamah insaniah.

Diharapkan pihak sekolah dan murid dapat menjaga dan meneruskan tradisi hotel ‘lima bintang’ yang diletakkan sebagai penanda aras. Inilah kali pertama tumpuan diberikan kepada tandas sekolah, iaitu salah satu insfrastruktur penting di kawasan sekolah.

Kebersihan tandas yang menjadi cerminan budaya ABC harus dijadikan amalan anak didik pewaris bangsa. Amalan kebersihan (anasafathu minal iman) seharusnya menjadi keutamaan dalam kalangan ibu bapa dan bukan diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah atau guru. Guru di sekolah hanya bertindak membantu membimbing berdasarkan tunjuk ajar dalam bidang pendidikan. Sikap tanggungjawab terhadap menjaga kebersihan perlu dipupuk dan disemai bagai menyemat butiran bintang di langit biru oleh ibu bapa bermula dari anak-anak itu mula berjinak dengan alam ini.

Kebersihan diri dan persekitaran amat dititik beratkan oleh semua agama. Kebersihan menjadi tunjang agama samalah seperti kita melakukan ibadah-ibadah agama. Isu kebersihan terutamanya tandas awam bukanlah satu permasalahan baharu di negara kita. Kebersihan tandas awam menjadi agenda utama kerajaan madani. Kita masih terkebelakang dalam menjaga kebersihan tandas. Dasar Kebersihan Negara (2021-2030) yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad harus menjadi panduan kita bersama.

Tandas yang dibina di sekolah harus dipelihara dan dipulihara agar sentiasa berada di tahap kebersihan setaraf hotel lima bintang. Satu pasukan khas harus ditubuhkan untuk memastikan segala kemudahan yang dibina berfungsi dan digunakan secara berhemah. Jawatankuasa tersebut hendaknya diwakili oleh murid setiap aliran dan dipantau oleh guru dan pekerja kebersihan sekolah.

Laporan kebersihan dan kualiti tandas yang lengkap harus dibentang oleh wakil pelajar kepada semua pelajar sebulan sekali. Pelaporan ini dapat membantu pihak sekolah dalam menjana idea baharu untuk meningkatkan kebersihan dan kualiti tandas.

Sebagai rakyat berpayungkan konsep madani, marilah kita mengejar dan mengerjakan kebersihan diri dan insaniah agar ia menjadi amalan hidup sejak di bangku sekolah. Jadikan kebersihan tandas sebagai asas pembentukan ummah yang bersih dan bermoral serta berkaramah insaniah. Jadikan slogan Kebersihan Tandas Cerminan ABC sebagai manifesto setiap murid. – UTUSAN

PENULIS ialah guru akademik di Sekolah Kebangsaan Batu 3, Kluang, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×