Walaupun internet menjadi sebahagian masa depan kanak-kanak, sebagai ibu bapa, kita perlu sedar tentang elemen buruk dibawa internet terhadap kanak-kanak. Lebih-lebih lagi ibu bapa berkerjaya yang terpaksa memberi kebebasan kepada anak menggunakan internet walaupun tahu ada risiko.
Pegawai Perlindungan Data Digi, Kulani Kulasingam memberi beberapa panduan keselamatan internet boleh kita amalkan.
1 Mulakan perbualan mengenai privasi lebih awal.
Ibu bapa perlu sentiasa peka dan berdialog bersama anak anda mengenai aktiviti dalam talian. Didik mereka menghormati privasi orang lain dalam talian.
2 Gandakan keselamatan peranti.
Galakkan anak anda memilih kata laluan yang selamat dan tidak mudah diceroboh. Ia bagi melindungi privasi peranti seperti telefon bimbit pintar atau komputer. Beritahu mereka supaya tidak berkongsi maklumat tersebut dengan orang lain. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah rendah, set peranti anak anda dengan kawalan kata laluan supaya anda tahu mereka selamat dalam talian dan sekat pembelian dalam aplikasi agar bil anda tidak naik secara mendadak tanpa sengaja.

3 Jangan berikan kebenaran akses aplikasi.
Pastikan anak anda selalu berwaspada dan sekat akses jika ia tidak diperlukan untuk sesuatu aplikasi atau perisian baharu itu berfungsi dengan baik.
4 Ajar anak berfikir panjang sebelum memuat turun sesuatu fail.
Elakkan daripada memuat turun dan membuka fail, melainkan daripada laman sesawang yang dipercayai.
5 Berhati-hati dengan sebarang maklumat peribadi dikongsi dalam talian.
Pastikan anak anda faham apa maksud maklumat peribadi dan kepentingan tidak mendedahkan maklumat peribadi.
6 Melindungi diri dengan tetapan privasi dalam media sosial.
Bimbing anak anda meneliti tetapan privasi pada akaun media sosial.Penandaan lokasi dalam sesuatu perkongsian contohnya, boleh mendedahkan di mana anak anda berasa. Hadkan akses kepada rakan dan keluarga yang dipercayai sahaja serta sekat kandungan tidak diingini.
7 Elakkan perkongsian berlebihan dalam talian.
Ingatkan anak anda agar tidak terlalu banyak berkongsi foto dalam media sosial sama ada foto sendiri atau rakan. Tindakan ini boleh menjejaskan privasi mereka.
8 Layari laman sesawang yang selamat.
Setiap kali anak anda melayari laman web, nasihatkan mereka agar memilih laman web yang bermula dengan https:// dan bukannya http:// kerana perbezaan tersebut menandakan bahawa laman web itu ‘selamat’.
9 Berterus-terang tentang bahaya internet
Beritahu anak-anak sekiranya ada situasi yang membuat mereka tidak selesa dalam internet, mereka perlu memberitahu ibu bapa dengan serta-merta.
10 Tetapkan peraturan
Peraturan perlu sesuai dengan usia anak. Tetapkan jadual penggunaan internet di rumah. Jadikan penggunaan internet ini sebagai ganjaran sekiranya tugasan harian mereka telah disempurnakan. Buat senarai laman sesawang yang boleh dilayari pada masa yang dibenarkan. Selain itu, ingatkan mereka untuk mendapat kebenaran daripada ibu bapa terlebih dahulu.










