Biawak liar, jinak di tangan Naufal - Utusan Malaysia

Biawak liar, jinak di tangan Naufal

SELAIN Argentina Tegu dan Red Tegu, biawak lain seperti Bearded Dragon (kiri atas) dan Blue Tounge Skink turut dijaga oleh Naufal di kedai haiwan peliharaan, Ultimate Creatures di Seksyen 7, U12 Cahaya Alam, Shah Alam, Selangor. – GAMBAR ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK ramai yang berani untuk membela haiwan eksotik apatah lagi ia boleh membahayakan dan mengancam manusia.

Berlainan bagi Naufal Haziq Zulkhairi, 21. Beliau membela biawak liar sebagai haiwan peliharaan.

Minatnya terhadap haiwan eksotik itu berputik sejak sekolah menengah. Minatnya yang bukan biasa-biasa itu membuatkan dia sering dianggap pelik dalam kalangan rakan sekolahnya hingga beliau dikatakan bercinta dengan haiwan itu.

Menceritakan mengenai minat membela biawak sebagai haiwan peliharaan, Naufal berkata, dia tertarik dengan gelagat dan keunikan rupa haiwan itu yang seakan-akan buaya.

Lebih daripada itu, rasa ingin tahu mengenai tabiat haiwan itu yang akan bertempiaran lari apabila terlihat manusia.

“Bermula dari situlah saya jadi berani nak tangkap biawak apabila ternampak kelibatnya di mana-mana. Menangkapnya susah juga sebab biawak lebih laju lari daripada kita.

“Saya tahu yang biawak liar memang tidak berapa jinak. Tapi disebabkan minat dengan biawak saya tetap tidak berputus asa untuk menjinakkannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sehingga kini dia memelihara lima ekor biawak, terdiri daripada jenis Asian Water Monitor atau nama saintifiknya ialah Varanus Salvator seberat satu kilogram berusia dua tahun manakala Argentina Tegu Lizard atau Salvator Merianae dan Red Tegu Lizard masing-masing tiga tahun, seberat 1.5 hingga dua kilogram.

Kata Naufal, membela biawak memerlukan kesabaran tinggi. Dia sanggup menunggu lama setiap hari untuk melihat dan bertemu dengan biawak dan memberi makan sebagai umpan untuk haiwan itu keluar daripada habitatnya.

DUA JAM BERI MAKAN
“Setiap hari saya akan habiskan masa dua jam memberinya makan dan cuba untuk membelainya apabila ia berani mendekati makanan yang diberi walaupun saya ada di situ.

“Saya berusaha selama dua bulan untuk menjinakkan dan akhirnya saya gembira kerana berjaya ‘menundukkan’ biawak liar ini. Daripada malu-malu kini sudah jadi peneman saya dan apabila nampak saya, ia akan datang dekat lalu naik ke bahu.

“Sejak itulah, saya tekad untuk membela biawak walaupun ramai menganggap ia sebagai haiwan menakutkan, namun biawak ini sebenarnya juga sangat manja,” katanya sambil membelai biawak kesayangannya.

KERJA KEDAI HAIWAN
Walaupun minatnya cenderung ke arah biawak, realitinya Naufal adalah pencinta haiwan. Dia menyayangi ke semua jenis haiwan tanpa mengira spesis.

Disebabkan itulah Naufal menawarkan diri untuk bekerja di kedai haiwan peliharaan sejak tingkatan dua lagi.

“Saya rasa seronok dan gembira apabila dikelilingi haiwan. Saya sanggup bekerja sambilan di kedai haiwan peliharaan sejak umur 14 tahun lagi. Apabila saya bekerja di kedai ini, saya tidak sangka memperolehi ilmu yang banyak terhadap haiwan. Bukan sahaja saya diajar mengenai kaedah penjagaan haiwan dengan betul, malah tips penjagaan biawak juga saya dapat di sini. Dalam masa sama, saya dapat mengenali karakter biawak dan cara pengendaliannya,” katanya.

Tambahnya, rakan-rakannya juga kini cenderung membela biawak selepas yakin melihat cara dia menjaganya dan haiwan itu nyata tidak berbahaya seperti yang disangka sebelum ini.

DIANGGAP KOTOR
Siapa tidak sedih apabila ada yang menganggap haiwan eksotik dibela adalah haiwan kotor namun Naufal tidak menyalahkan semua yang berfikiran seperti itu.

Baginya, ilmu sangat penting bagi menerangkan kepada sesiapa yang tidak mengetahui tentang haiwan eksotik.

RED Tegu antara biawak kesayangan Naufal, memiliki warna unik iaitu merah jambu.

“Jika dulu keluarga tidak suka saya membela biawak kerana mereka menyangka ia sebagai haiwan kotor. Lama-kelamaan mereka boleh terima minat saya, apabila melihat cara penjagaan yang bersih saya praktikkan kepada biawak,” katanya.

Jari hampir putus digigit biawak
Kata Naufal, tipulah kalau tiada kenangan pahit semasa membela haiwan eksotik.

Katanya dia pernah diserang dan digigit biawak kesayangan di jari tangan kiri hingga menyebabkan ia hampir putus.

“Ketika itu saya menjemurnya untuk dapatkan cahaya pagi selepas membersihkan kandang.

“Saya menyentuhnya untuk dialihkan ke tempat lain dan secara tiba-tiba ia menggigit jari saya, namun saya bernasib baik kerana jari tidak putus. Tapi, saya tidak menyalahkan biawak tersebut kerana silap saya mengganggu ia sedang berjemur. Rupanya biawak ini cukup sensitif dan ia perlu disentuh dan dibelai dengan berhati-hati,” katanya.

Naufal memberitahu, gigitan biawak boleh mendatangkan bahaya kepada manusia kerana air liurnya memiliki bakteria.

“Kita tidak tahu apa yang dimakan atau mungkin ia makan bangkai. Kalau biawak kita bela, kita tahu ia makan makanan bersih seperti seperti udang, tikus, daging ayam dan telur rebus. Biasanya kalau saya tercedera kecil, saya hanya akan mencucinya menggunakan Iodine Solution atau dettol,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×