KEMUDAHAN penjagaan kesihatan di negara ini adalah antara yang terbaik berikutan perbelanjaan besar diperuntukkan kerajaan. Hospital adalah pusat pertemuan sosial yang begitu penting dalam konteks perpaduan nasional. Itulah tempatnya semua kaum berkumpul untuk tujuan sama – mendapat perkhidmatan kesihatan dan perubatan sama rata, tempat rakyat menaruh harapan mendapatkan rawatan sebaik mungkin.
Demi kepentingan masyarakat dan penambahbaikan perkhidmatan kesihatan, hospital baharu terus dibina dan perkhidmatan kesihatan diperluaskan ke serata pelosok negara termasuk penubuhan beberapa hospital pengajar di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau lebih dikenali sebagai SASMEC @IIUM ditubuhkan secara rasmi pada 20 Julai 2016. Ia merupakan hospital pengajar keempat di negara ini di bawah naungan KPT. SASMEC @IIUM berjaya menterjemah cogan kata UIAM, Leading the Way dengan jayanya apabila menerima anugerah Malaysia Book of Records sebagai hospital patuh syariah pertama di negara ini.
SATU SYARIAT
Usaha ini merupakan satu pendekatan holistik dan menyeluruh demi memberi khidmat terbaik kepada masyarakat. Bertitik tolak daripada seruan, “Seseorang Islam wajib untuk taat dan mengerjakan setiap perintah Allah SWT dan wajib meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya.”
SASMEC @IIUM menawarkan perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan kepada semua golongan masyarakat mengikut prinsip ditetapkan dalam syariat Islam, bertepatan dengan konsep rahmatan lil alamin.
Ini merupakan satu konsep yang lebih luas dibandingkan hospital mesra ibadah. Dalam pelaksanaan hospital patuh syariah ini, pematuhan terhadap segala aspek dan aktiviti bermula daripada proses pengambilan kakitangan, pemilihan petugas kesihatan sehinggalah ke proses perawatan, jual beli ubat dan kemudahan fasiliti, tadbir urus, latihan kompetensi serta proses pembayaran dan caj dikenakan terhadap pesakit bertepatan dengan konsep madani yang memfokuskan kepada keharmonian masyarakat majmuk, pembangunan mampan dan tadbir urus baik.
NILAI TERAS
Mengambil kira kepentingan nilai dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat dan mesra pelanggan, nilai teras perlu ada, dihayati dan dilaksanakan di SASMEC @IIUM.
Justeru, R.E.S.T.U iaitu Responsibility (Bertanggungjawab), Excellence (Kecemerlangan), Sincerity (Ikhlas), Trust (Kepercayaan) dan Unity (Perpaduan) adalah nilai teras diperakui oleh pengurusan tertinggi UIAM untuk dilaksanakan di SASMEC @IIUM.
Kejayaan SASMEC @IIUM membuktikan hospital pengajar universiti mampu bersaing dengan hospital arus perdana walaupun beroperasi sebagai hospital rujukan. Pada usia tujuh tahun SASMEC @IIUM melakar sejarah membanggakan dan kejayaan itu menjadi landasan untuk menjadikan hospital yang lebih maju terutama dengan adanya pelbagai fasiliti terkini serta barisan tenaga pakar berpengalaman. SASMEC @IIUM bermula dengan skala kecil dan kini kekuatan serta kualiti dimiliki mampu menjadikan hospital ini setanding hospital awam dan swasta lain.
Ini juga merupakan satu kebanggaan kepada UIAM dengan pengiktirafan yang diterima dan ia semestinya menjadi pembakar semangat buat semua kakitangan untuk terus berusaha memberi perkhidmatan terbaik dan memuaskan bagi kepuasan pesakit, SASMEC @IIUM sangat komited dalam mengorak langkah untuk menjadikan perspektif halal yang memenuhi kehendak syariah Islam sebagai arah perkembangan pentadbiran perawatan kesihatan lebih menyeluruh.
Matlamat unggulnya ialah untuk menjadikan gaya hidup halal sebagai matlamat asas kehidupan bagi semua rakyat kerana sifat halal itu universal. Maknanya, gaya hidup halal sebenarnya diterima sebagai amalan hidup sejagat di seluruh dunia.
Sebagai sebuah hospital yang bukan hanya menekankan kecemerlangan perubatan dan rawatan, SASMEC @IIUM juga menitikberatkan nilai-nilai kemanusiaan, merealisasikan cogan katanya, Helping Hands with Loving Hearts. Ini semua atas kepercayaan yang semua lapisan masyarakat berhak mendapat akses kepada perubatan dan rawatan berkualiti tanpa mengira agama, bangsa dan ekonomi.
Kita sedia maklum, faktor logistik dan kos menyebabkan ramai pesakit tidak dapat hadir mendapatkan rawatan di hospital.
Justeru, demi mendekatkan SASMEC @IIUM dengan masyarakat, pelbagai perkhidmatan terus disediakan termasuk program ziarah ke rumah pesakit, perkhidmatan rawatan kesihatan di kampung dan kawasan pedalaman, program khidmat masyarakat, perkhidmatan penghantaran ubat, khidmat bantuan kos perawatan melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan dan beberapa bantuan lain.
Inisiatif turun padang untuk bersama masyarakat ini lebih membawa SASMEC @IIUM ke hati mereka. Usaha ini bukan sahaja menyenangkan masyarakat mendapat akses kepada pemeriksaan kesihatan dan rawatan terbaik, malah dapat mengeratkan hubungan dan jalinan yang baik di antara hospital pengajar dan masyarakat.
Diharap dengan inisiatif diusahakan oleh SASMEC @IIUM, ia dapat dijadikan satu model ikutan oleh hospital lain, seterusnya negara islam serantau dan dunia. Sangat bertepatan dengan aspirasi dan agenda UIAM dalam merealisasikan konsep khalifah (to lead) dan rahmatan lil alamin.
Semoga kelestarian dan legasi dapat diteruskan langsung kekal relevan pada masa mendatang demi menegakkan syariat Islam dalam pengurusan hospital.
Semoga dengan kecemerlangan serta profesionalisme yang wujud di SASMEC @IIUM akan terus menjadi permata dalam sistem kesihatan di negara ini dan terus menjadi pilihan masyarakat. – UTUSAN
Penulis ialah Timbalan Pengarah Kanan di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), SASMEC @IIUM, Kuantan, Pahang.











