Naza Corp peroleh 5.18 peratus kepentingan ECA Integrated

Naza Corp peroleh 5.18 peratus kepentingan dalam ECA Integrated Solution

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naza Corp Bhd. muncul sebagai antara pemegang saham utama dalam ECA Integrated Solution Bhd. selepas memperoleh 5.18 peratus kepentingan atau 30 juta saham dalam syarikat tersebut pada Jumaat lalu, berdasarkan pemfailannya di Bursa Malaysia pada Isnin.

Konglomerat itu kini pemegang saham keempat terbesar bagi syarikat pembekal penyelesaian pembuatan automatik itu, susulan pengambilalihan tersebut.

Pemegang saham terbesar Kumpulan itu ialah Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasinya, Chua Lye Hock dengan 21.26 peratus kepentingan, diikuti Siew Ooi Chin dengan 20.02 peratus dan Kang Ewe Kheng (11.66 peratus).

Tersenarai di bursa saham pada November tahun lepas, ECA Integrated terutamanya terlibat dalam penyediaan sistem pengeluaran bersepadu dan peralatan automatik yang berdiri sendiri.

Syarikat itu juga menyediakan perkhidmatan selepas jualan untuk perkhidmatan sokongan teknikal dan alat ganti.

Selain itu, syarikat tersebut juga memperoleh lebih separuh hasilnya daripada pasaran luar negara termasuk Eropah Timur dan Barat, China, Singapura, Vietnam, Filipina dan Amerika Syarikat (AS) pada tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2021.

Syarikat juga mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM3.15 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023, jatuh 2.78 peratus daripada RM3.24 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, hasil bagi tempoh sama meningkat 8.84 peratus kepada RM10.91 juta berbanding RM10.03 juta pada tahun sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×