PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus bagi menyokong pertumbuhan ekonomi domestik yang masih perlahan ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dengan trend eksport dan import negara yang menurun terutama dengan China, tumpuan kini adalah pada pengukuhan ekonomi domestik.
Justeru katanya, kos atau kadar pinjaman yang dikekalkan akan memudahkan perniagaan untuk membuat unjuran perniagaan masing-masing kerana kestabilan kos kewangan adalah sukar diperoleh ketika ini.
“Kadar Inflasi negara terus menurun dari 4.5 peratus pada September 2022 kepada 1.9 peratus September 2023. Kenaikan OPR yang bermula 2022 adalah untuk menangani kadar inflasi yang tinggi. Kini, kadar inflasi negara dalam keadaan terkawal walaupun terdapat tekanan kadar inflasi global.
“Naik turun nilai ringgit amat dipengaruhi oleh faktor global terutama kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS). Tidak ada kesan yang besar kepada nilai ringgit untuk mengukuh sekiranya OPR dinaikkan lagi oleh BNM.
“Perbezaan antara OPR negara dan kadar faedah oleh Fed sudah pun besar iaitu 2.5 peratus pada masa ini. Kenaikan OPR sekiranya 0.25 ke 3.25 peratus tidak banyak beza dan tidak menaikkan nilai mata wang ringgit secara langsung,” katanya, semalam.
Tambahnya, OPR perlu dikekalkan sekurang-kurangnya hingga akhir suku kedua 2024 bagi memberikan kestabilan kepada kewangan dan ekonomi negara.
Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, OPR akan kekal memandangkan kadar inflasi masih lagi di tahap yang rendah.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi domestik masih lagi agak perlahan dan pengekalan OPR dapat menyokong ekonomi untuk berkembang.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari turut sependapat OPR akan dikekalkan bagi mengelak kejutan dalam pasaran atau memberi tekanan pada ekonomi.
Menurutnya, pasaran perumahan dan kewangan suka apabila kadar jatuh, tetapi mereka tidak menyukai kejutan dan keputusan untuk tidak melaraskan kadar sudah dijangka secara meluas.
Jelasnya, semua penunjuk mencadangkan bahawa negara tidak memerlukan kadar yang lebih tinggi dan inflasi terkawal serta ekonomi pertumbuhan telah menyederhana.
“Ringgit telah jatuh pada tahap rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan ada yang menggesa BNM meningkatkan OPR bagi membendung kejatuhan ringgit. Dengan meningkatkan OPR, bank pust berharap dapat membantu ringgit mendapatkan semula sebahagian daripada nilainya. Bank pusat mungkin melakukan ini pada 2024,” tambahnya.
Penganalisis Pasaran Kewangan Octa, Kar Yong Ang turut menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR susulan penurunan inflasi September pada 1.9 peratus, paras terendah dalam tempoh dua tahun setengah dan di bawah jangkaan konses pakar-pakar ekonomi yang dikumpulan oleh Reuters dan Bloomberg pada 2.2 peratus dan 2.1 peratus.
Unjuran itu kata beliau, mempertimbangkan risiko luaran dan dalaman yang ketara kepada inflasi domestik yang perlu dipantau dengan teliti dalam tempoh terdekat, iaitu kenaikan harga tenaga dan kejatuhan ringgit.
“Dalam persekitaran inflasi yang rendah, keputusan untuk menukar OPR tidak lagi relevan. Keadaan ini akan terus menjejaskan ringgit, yang akhirnya boleh mencetuskan kembali kepada strategi pengetatan monetari,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, susut nilai ringgit juga dipengaruhi oleh faktor seperti jangkaan bahawa kadar dana persekutuan AS kekal tinggi tanpa isyarat jelas penurunannya. – UTUSAN










