Berpijaklah di bumi yang nyata

Berpijaklah di bumi yang nyata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA Selasa, saya berbahas dan memberi pandangan terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) yang telah dibentang oleh Perdana Menteri pada 13 Oktober lalu. Dalam perbahasan itu, saya  memberi penekanan kepada pengurusan ekonomi negara seperti pemberian subsidi bersasar, peningkatan kos sara hidup, kemiskinan dan sistem percukaian. 

Secara keseluruhannya saya melihat kerajaan meletakkan salah satu matlamat utama, iaitu untuk mengawal defisit fiskal. Langkah ini baik tetapi saya bimbang penekanan berlebihan untuk mencapai matlamat tersebut seperti menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta melaksanakan rasionalisasi subsidi akan menekan rakyat yang kini berhadapan kenaikan kos sara hidup.

Rasionalisasi subsidi bukan perkara baharu. Ia dimulakan oleh pentadbiran Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin membawa perubahan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar. 

Malah, sewaktu Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika itu, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail mengumumkan kerajaan ingin memperkenalkan subsidi bersasar tetapi sehingga hari ini belum diperkenalkan. 

Ini kerana ia memerlukan satu mekanisme telus dan cekap untuk memastikan tidak ada siapa pun tercicir dan terkesan daripada keputusan ini. Mekanisme ini penting untuk diperhalusi kerana subsidi telah ‘melekat’ dalam ekonomi sebagai komponen struktural. Subsidi kerajaan tidak hanya tertumpu kepada sektor dan segmen tertentu malah merentas keseluruhan sektor dan pasaran termasuk pasaran buruh.

Justeru, saya ingin bertanya, apakah mekanisme yang akan digunakan oleh kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar pada tahun hadapan kerana ia tidak disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2024? 

Saya bimbang walaupun golongan B40 masih mendapat subsidi, namun mereka akan tetap mendapat tempias. Sebagai contoh, kumpulan ini masih mendapat subsidi bekalan elektrik tetapi jika pihak industri dikenakan tarif tanpa subsidi mereka tidak akan menyerap kenaikan kos.

Begitu juga, jika subsidi diesel untuk sektor pengangkutan ditarik balik. 

Peningkatan kos-kos ini akan dilepaskan kepada pengguna. Ini akan menyebabkan harga barangan terus meningkat. 

Pelaksanaan subsidi bersasar tanpa mekanisme tepat akan menyebabkan rakyat terus terbeban apatah lagi kos sara hidup semakin meningkat. 

Ketika saya menerajui kerajaan, kita mempertahankan pemberian subsidi termasuk memperluaskan kepada ayam dan telur kerana fokus utama kita adalah kesejahteraan rakyat. Walaupun kita tahu kita terpaksa berbelanja besar. 

Kerajaan Keluarga Malaysia memahami rantaian subsidi dalam pasaran dan kita mengambil langkah ‘bertahan’ sehingga ekonomi dan pendapatan rakyat mengukuh sebelum langkah rasionalisasi subsidi boleh dilaksanakan. Namun, belum pun harga ayam diapungkan, beberapa hari lalu akhbar melaporkan harga ayam mencecah RM11 sekilogram. Apa akan jadi pada tahun depan jika harga ayam diapungkan?

Ia pasti akan menjadi lebih tidak terkawal kerana 70 peratus daripada kos keseluruhan pengeluaran adalah makanan diimport dari luar negara selain logistik, buruh, utiliti dan ubat-ubatan. Kos makanan ayam dijangka terus meningkat disebabkan kejatuhan ringgit. 

Kita semua sedar, manipulasi barangan keperluan dilakukan oleh golongan tertentu atau kartel. Ketika pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia, kita mengesan lima syarikat dikatakan menjadi kartel menentukan harga makanan ayam. Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menjalankan siasatan tetapi sehingga hari ini tidak ada keputusannya. Kenapa mengambil masa terlalu lama?

Saya bimbang pelaksanaan secara tergesa-gesa tanpa perancangan teliti akan memberikan kesan buruk kepada rakyat. Cara terbaik untuk mengurangkan kesan rasionalisasi subsidi adalah pemberian tunai. Untuk itu, kerajaan perlu menambah hasil pendapatan. 

Salah satu kaedahnya adalah melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi menggantikan SST. Ia telah dikenal pasti sebagai sistem cukai yang efisien serta telus dan juga berupaya mengelakkan ketirisan daripada aktiviti black economy.  

VAT

Lebih 170 negara di dunia melaksanakan GST termasuk negara-negara serantau. Sebagai contoh, Indonesia melaksanakan GST atau VAT pada 1984, Thailand sejak 31 tahun lalu, Singapura sejak 29 tahun lalu, dan rakyat Laos juga biasa dengan VAT sejak 14 tahun lalu.

Malah, tidak ada satu negara di dunia yang melaksanakan GST, dan kemudiannya berpatah balik kepada SST kecuali Malaysia. 

Pada 2017, hasil negara kita daripada cukai GST adalah RM44.35 bilion. Selepas dihapuskan pada 2018, hasil kutipan SST hanya sekitar RM20 bilion hingga RM30 bilion. Negara kehilangan kira-kira RM15 bilion setahun akibat black economy selepas GST dihapuskan pada 2018.

Kerajaan menyasarkan pada tahun hadapan, kutipan SST sebanyak RM35.8 bilion. 

Perbandingan setara tidak dapat dilakukan di antara kedua-dua rejim percukaian ini, namun berdasarkan data, pastinya jika GST dilaksanakan pada tahun depan, kutipannya jauh lebih tinggi kerana tujuh tahun lalu pun GST menyumbang hampir RM45 bilion. 

Jadi, daripada menaikkan SST daripada enam kepada lapan peratus, adalah lebih baik memperkenalkan kembali GST.  Dalam masa sama, kenaikan SST pastinya akan memberikan kesan berantai kepada harga barang. 

Ketika saya masih menerajui kerajaan, saya meletakkan pembasmian kemiskinan sebagai agenda utama. Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dilancarkan pada 2022. 

Ketika program BMTKM dilaksanakan, terdapat hampir 130,000 isi rumah dikategorikan miskin tegar dalam senarai e-Kasih pada Oktober 2022 berbanding 260,000 isi rumah dalam tempoh sama pada 2021. 

Penurunan hampir separuh jumlah miskin tegar ini adalah kerana pendekatan agresif kerajaan membuka semua sektor ekonomi dan sempadan dengan pantas serta program vaksinasi yang berkesan. 

Maka disebabkan itu, kita menetapkan sasaran untuk menghapuskan miskin tegar pada penghujung RMK-12, iaitu pada 2025 yang dilihat lebih realistik. Menghapuskan miskin tegar memerlukan tekad yang tinggi daripada semua pihak terutama isi rumah itu sendiri untuk berubah. 

Bagaimanapun, Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2023  mempercepatkan sasaran tersebut. Beliau mahu menoktahkan miskin tegar pada penghujung tahun ini. Dengan berbaki dua bulan lagi, Timbalan Menteri Ekonomi dalam jawapan di Parlimen pada 19 Oktober lalu menyatakan jumlah miskin tegar adalah sebanyak 110,663 isi rumah pada September 2023. 

Ini berbeza dengan kenyataan Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2024 yang menyatakan jumlah miskin tegar adalah 18,000 isi rumah. Kenapa wujud perbezaan data yang terlalu besar dalam tempoh yang sangat singkat?

Akhir sekali, saya harus jujur, keadaan pada hari ini sangat membimbangkan, ringgit terus menjunam dan indeks Bursa Malaysia kekal berada sekitar 1,400 mata. Dua petunjuk ini memberikan gambaran bahawa negara berhadapan krisis keyakinan pelabur amat serius.

Walaupun beberapa petunjuk memberi gambaran positif seperti jumlah pengangguran semakin menurun dan inflasi rendah tetapi realitinya amat berbeza. Apa guna kalau kita dapat mencatatkan petunjuk-petunjuk makroekonomi yang baik dan positif tetapi realiti mikronya menunjukkan rakyat terus tertekan serta tidak merasai kemanisannya. 

Kita harus berpijak pada bumi yang nyata demi masa depan negara. – UTUSAN

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×