Dalam menggapai langit, jangan lupa akar di bumi

Dalam menggapai langit, jangan lupa akar di bumi

DALAM ucapan sempena pelancaran Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023, kelmarin, Anwar Ibrahim mengarahkan surat rasmi yang diutuskan oleh individu dan syarikat tempatan bukan dalam bahasa kebangsaan dipulangkan. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“JIKA ada dalam kalangan individu dan syarikat tempatan yang mengutus surat selain daripada bahasa kebangsaan kepada jabatan-jabatan kerajaan, surat itu akan dipulangkan.” Itulah arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap melancarkan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, kelmarin.

Sebagaimana ikhtiar memartabatkan bahasa kebangsaan dilakukan sebelum ini sama ada kecil atau besar, tentunya ada suara-suara cuba memperlekehkan usaha ini atas alasan bahasa Melayu tidak penting berbanding bahasa Inggeris yang merupakan lingua franca dunia.

Menjawab persoalan itu, Perdana Menteri jelas dalam pendiriannya bahawa usaha sebegini tidak bererti kita meremehkan kepentingan bahasa Inggeris, apatah lagi beliau sendiri diketahui mahir bertutur dalam bahasa itu. Jika tidak, masakan beliau mampu menjadi tenaga pengajar di Georgetown University di Washington DC, Amerika Syarikat, suatu ketika dahulu.

“Tetapi kita perlu mengakar ke bumi. Pemerkasaan budaya melalui bahasa, sasteranya itu sesuatu yang integral dalam pembinaan bangsa. Jadi, jangan kita cuba remehkan.

“Dalam keghairahan kita menggapai langit, meneroka alam pemikiran baharu, jangan kita tinggalkan landasan yang mengakar ke bumi,” tambahnya yang bermaksud jangan dilupakan bahasa ibunda sendiri.

Pendirian Perdana Menteri ini amat mudah difahami. Kita tentunya perlu menggapai langit, meneroka alam pemikiran baharu, mencetuskan idea dan mengikuti perkembangan alam digital dan transformasi digital kerana ia perkara imperatif, termasuk menguasai pelbagai bahasa dan kecanggihan.

Dasar pentadbiran ketika ini jelas tidak menafikan semua perkara itu yang menjadi tuntutan zaman apabila menyediakan peruntukan awal berjumlah RM20 juta dalam Belanjawan 2024 bagi menubuhkan pusat pengajian kecerdasan (AI) pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Namun, seperti mana judul karya pemuisi Indonesia, Taufiq Ismail, menggapai ke langit itu harus diiringi mengakar ke bumi. Dalam konteks Malaysia, pastinya antara dasar akar kepada negara ini adalah bahasa Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, antara pertimbangan penting adalah pemerkasaan bahasa dan budaya kerana pertumbuhan dan lonjakan ekonomi serta penguasaan bidang-bidang baharu semata-mata tidak sampai mengetepikan negara dan budayanya.

Dalam konteks lebih besar, isu bahasa bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi ia adalah permasalahan zaman. Seawal lewat 1980-an, buku The Closing of the American Mind karya Allan Bloom, misalnya sudah membicarakan soal perubahan teknologi di Amerika Syarikat (AS) yang mencetus kegusaran kerana menyebabkan kurangnya minat generasi muda untuk membaca. Ini sering kali disentuh oleh Perdana Menteri dalam setiap pidato utamanya.

KLASIK

Kegusaran ini sudah berlaku lebih tiga dekad lalu sebelum wujudnya asakan betubi-tubi pengaruh media sosial yang memutuskan semua perkara hanya dalam tempoh beberapa minit atau 30 saat.

Percambahan maklumat sebegitu rupa telah menyebabkan berkurangnya minat anak muda untuk menelaah, membaca dan menghadam buku-buku serta arus pemikiran daripada karya-karya klasik, falsafah dan sejarah ulung tamadun.

Kegusaran dan kritikan ini turut pernah diungkapkan ahli falsafah AS, Mortimer Adler, tegas Anwar lagi.

Malaysia harus mengambil iktibar daripada teguran dan kritikan sebegini, khususnya golongan pendidik utamanya, guru dan pensyarah yang perlu mengambil peranan memberi dorongan dan rangsangan supaya anak-anak muda lebih banyak membaca.

Kita tidak mahu anak-anak muda yang hanya membaca dan menghafal semata-mata kerana kewajipan untuk lulus peperiksaan, sebaliknya perlu ditanam dan diasak minat dan kecintaan kepada ilmu sejak awal.

Malah menurut Anwar, tanpa budaya membaca, menelaah dan menghadam ilmu, Malaysia hanya akan melahirkan intelektual picisan, iaitu mereka yang hanya mencatat, memilih satu atau dua sumber dan kemudian terus melontar idea hingga mencetus kekeliruan kepada umum.

Budaya membaca jugalah yang akan membantu rakyat kita berdepan kecelaruan maklumat dengan kemampuan membezakan antara maklumat, ilmu dan hikmah.

Ketika ini, maklumat begitu banyak bercambah, namun tidak semua itu adalah ilmu. Bahkan bukan semua ilmu itu boleh dianggap sebagai hikmah atau wisdom. Ini hanya boleh diputuskan oleh mereka yang mengkaji, mendalami dan membaca.

Maka, amat wajar bagi kerajaan dan Perdana Menteri khususnya mengeluarkan arahan mengembalikan surat dalam bahasa selain bahasa kebangsaan kerana ketika kini sudah wujud sikap dalam kalangan jabatan kerajaan, universiti serta sektor swasta yang terpesong dan cuba meninggalkan bahasa yang menjadi asas dalam perlembagaan.

Langkah ini perlu disusuli dengan mengangkat karya-karya Sasterawan Negara ke tahap lebih tinggi serta dibaca dan ditelaah generasi muda. Amat sayang dan rugilah jika keunikan dan keindahan karya nukilan Sasterawan Negara yang begitu mengesankan terhasil daripada curahan serta pencernaan hati nurani dan dilakar dalam bahasa indah, tidak dinikmati oleh anak-anak muda.

Dengan adanya sokongan penuh kerajaan menerusi peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2024 kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, tiada alasan untuk badan-badan ini lesu dalam menjalankan tanggungjawab memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu.

Semangat ini juga perlu disambut dan diperhebatkan di peringkat sekolah dan semua pusat pengajian tinggi termasuk universiti swasta yang perlu meneroka pelbagai galakan bagi merangsang minat dan kebersamaan pelajar serta masyarakat untuk ikut serta dalam usaha murni.

Biarpun kita menggapai langit, kita tetap harus mengakar ke bumi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×