Optimis Malaysia mampu jadi ‘harimau’ digital Asia

Optimis Malaysia mampu jadi ‘harimau’ digital Asia melalui kewujudan pusat data besar

TEO Nie Ching (tiga kiri) bersama Zahri Mirza (tiga kanan), Presiden dan Ketua Pengurusan Gaw Capital, Kenny Gaw (dua kiri) melakukan gimik majlis pecah tanah Infinaxis Data Centre di Cyberjaya hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching optimis Malaysia mampu menjadi ‘harimau’ digital Asia dengan kewujudan pusat data besar di negara ini.

Berucap sempena majlis pecah tanah Infinaxis Data Centre di sini, Nie Ching berkata, ia dapat dicapai melalui pelaburan yang besar dan kerjasama dengan organisasi terkemuka seperti Infinaxis.

“Saya sangat teruja untuk berkongsi bahawa Infinaxis, pemain terkenal dalam industri teknologi global, telah memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburannya.

“Pelaburan mereka sejajar dengan peningkatan kemasukan pelaburan langsung asing dalam bidang ini, terutamanya membabitkan perkembangan di Cyberjaya.

“Infinaxis membawa bersama mereka lebih daripada 45 tahun gabungan pengalaman dan pelaksanaan yang sudah pasti akan memperkayakan pendekatan pusat data tempatan,” katanya.

Infinaxis Data Centre diunjur siap menjelang suku kedua 2025, yang akan menampilkan kemudahan canggih merangkumi lebih 17,000 meter persegi keluasan lantai kasar (GFA), dilengkapi dengan 10 dewan data serta menawarkan kepadatan kuasa sehingga 80kW setiap rak dan menghantar beban IT 12MW.

Jelas Nie Ching, pelaburan tersebut juga bakal menyumbang kepada pertumbuhan dua angka dalam gaji teknologi serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam pasaran pekerjaan digital.

“Malaysia pantas menjadi hab pusat data serantau dan destinasi pelaburan yang menarik hasil daripada peningkatan perbelanjaan infrastruktur digital termasuk stesen pendaratan kabel, lebih banyak kabel bawah air, 5G serta sambungan gentian yang lebih baik,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Infinaxis Data Centre, Zahri Mirza, mereka berada dalam misi untuk melayani permintaan pelanggan yang semakin meningkat selain menyokong kehebatan Asia Tenggara dalam data dan pendigitalan.

Beliau berkata, rantau ini mempunyai salah satu ekonomi terbesar di dunia, maka secara semula jadi keperluan bagi infrastruktur digital dalam dekad akan datang menjadi penting untuk pertumbuhan.

“Kami memulakan perjalanan kami di sini hari ini di Cyberjaya dengan langkah pertama ke arah pusat data sulung kami.

“Ini menandakan permulaan perjalanan kami untuk menerajui inovasi, kemampanan dan pengembangan di rantau ini untuk memenuhi permintaan pelanggan. Kemudahan bertaraf dunia ini pastinya penting dalam matlamat ekonomi digital Malaysia sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×