Gaya hidup tidak sihat punca ramai obes

Gaya hidup tidak sihat punca ramai obes

Pemakanan antara yang menyumbang terhadap kegemukan berlebihan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amalan gaya hidup tidak sihat termasuk pemakanan kurang sesuai didapati menjadi satu daripada faktor 50.1 peratus rakyat Malaysia berdepan masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, faktor lain yang menyumbang kepada masalah obesiti di negara ini adalah rakyat kurang bersenam, genetik, faktor sosial termasuk cara pemakanan dan ekonomi.

Katanya, dari sudut ekonomi, ramai rakyat Malaysia mampu membeli makanan yang murah dan tidak sihat.

“Peningkatan usia juga membawa kepada kurangnya amalan gaya hidup sihat dan kebanyakan rakyat kerap mengamalkan pemakanan yang menggunakan kaedah menggoreng daripada merebus serta pengambilan makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan semakin berkurangan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan akhbar ini mengenai kira-kira separuh daripada 32 juta rakyat menghadapi masalah berat berlebihan yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan.

Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO) Prof. Dr. Geeta Appannah berkata, kumpulan umur dari 35 sehingga 39 tahun adalah kumpulan yang paling tinggi mempunyai masalah obesiti iaitu 25.3 peratus diikuti dengan golongan berumur 40 hingga 44 tahun (24.4 peratus).

Sementara itu, Profesor Epidemiologi dan Perunding Kanan Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM), Dr. Sanjay Rampal berkata, masalah obesiti yang tinggi pada masa ini adalah hasil daripada perubahan persekitaran pemakanan di mana makanan diproses mudah didapati, namun, makanan sihat pula sukar untuk diakses.

“Makanan diproses mudah didapati dengan harga yang berpatutan sebaliknya pilihan makanan yang lebih sihat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan segar dijual pada kadar yang tinggi,” katanya.

Selain itu, katanya, peningkatan masalah kegemukan dalam kalangan rakyat Malaysia dapat diatasi sekiranya wujud klinik khas obesiti dan metabolik serta akses umum kepada ubat-ubatan dan intervensi anti-obesiti dipertingkatkan di klinik-klinik kerajaan dan swasta.

Secara umumnya, jelas beliau, masalah kegemukan adalah fenomena biasa yang terdapat di negara maju, namun, masih ada negara yang mempunyai kadar obesiti paling rendah di dunia seperti Jepun.

“Jepun mempunyai kadar obesiti terendah dan jangka hayat tertinggi kedua di dunia kerana rakyatnya aktif beriadah dan mengamalkan cara makan yang perlahan serta mengunyah makanan dengan kuantiti yang sedikit.

“Gaya pengambilan makanan yang diamalkan membolehkan rakyat Jepun lebih cepat kenyang dan risiko makan berlebihan juga dapat dikurangkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×