PETALING JAYA: Kumpulan Fokus PKS (SFG) di bawah Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) melancarkan portal Pemula Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), ESG Jumpstart, khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pelancaran ini telah diadakan bersempena Persidangan JC3 Journey to Zero 2023 di Sasana Kijang, semalam.
SFG yang dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan UOB Malaysia melancarkan ESG Jumpstart iaitu portal maklumat sehenti, dibangunkan khusus oleh SFG untuk meningkatkan kemahiran serta melengkapkan PKS tempatan menerima amalan ESG.
Portal ini menyediakan panduan rujukan mudah dan praktikal bagi PKS dan mengandungi cadangan tindakan yang boleh diambil oleh PKS untuk menambahkan pengetahuan dan keupayaan asas ESG mereka, serta mengenal pasti dan bertindak balas terhadap isu, risiko dan peluang utama ESG.
Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, dengan menggabungkan pengetahuan dan pembiayaan, dua teras utama ke arah masa hadapan yang mampan, pihaknya berharap ia dapat menggalakkan lebih banyak PKS mengambil langkah peralihan itu.
“Kami menggalakkan PKS agar memanfaatkan portal ini dan memulakan perjalanan transformatif bagi membuka peluang kemampanan secepat yang mungkin.
“Portal ESG Jumpstart menandakan permulaan usaha Kumpulan Fokus PKS. Sebagai pengerusi bersama, kami akan terus memacu kerjasama yang mantap bagi membantu PKS Malaysia kukuhkan daya saing mereka dalam rantaian bekalan global apabila dunia beralih ke arah kemampanan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi menyokong akses pembiayaan yang lebih luas kepada PKS, UOB Malaysia juga akan mengambil bahagian dalam skim jaminan portfolio berjumlah RM1 bilion daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) untuk pembiayaan ESG.
Jaminan ini bertujuan mempercepatkan lagi inisiatif pembiayaan ESG diterajui industri oleh institusi kewangan tempatan pada masa hadapan.
JC3, yang dipengerusikan bersama oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti adalah platform yang ditubuhkan untuk meneruskan tindakan kerjasama bagi membina daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia.
SFG ditubuhkan di bawah JC3 untuk menangani cabaran yang dihadapi PKS termasuk kurang kesedaran dan pengetahuan tentang risiko perubahan iklim, kekangan kewangan untuk mengamalkan dan melabur dalam inisiatif atau teknologi berkaitan hijau, serta sokongan, bimbingan dan ekosistem kawal selia yang tidak mencukupi untuk menggalakkan peralihan hijau mereka.
Ia terdiri daripada ahli-ahli industri kewangan termasuk bank dan syarikat penanggung insurans. – UTUSAN










