PETALING JAYA: Malaysia sepatutnya memanfaatkan kelemahan ringgit dengan meningkatkan eksport dan memajukan sektor pelancongan bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong asing, kata pakar ekonomi.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, nilai ringgit yang lemah tidak semestinya tidak baik untuk negara kerana secara teori, mata wang yang lemah akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing melalui peningkatan eksport.
Menurut beliau, lazimnya apabila ringgit melemah sektor eksport lebih berdaya saing disebabkan produk tempatan lebih murah untuk dipasarkan ke luar negara.
“Bagi sektor pelancongan pula, pelancong asing terutamanya dari Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Singapura akan lebih tertarik untuk bercuti ke dalam negara kerana kuasa beli mereka lebih besar disebabkan nilai mata wang mereka yang lebih tinggi.
“Justeru, negara perlu mengambil kesempatan ini untuk memperkasa sektor pelancongan. Jika dilaksanakan dengan baik, ia juga akan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam negara.
“Jadi, kita perlu melihat ringgit yang melemah ini sebagai satu peluang berbanding satu masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Afzanizam berkata, kelemahan ringgit bukan kerana ekonomi negara yang lemah tetapi faktor luaran yang tidak boleh dikawal seperti geopolitik, kadar faedah di Amerika Syarikat dan negara maju yang memberi kesan langsung kepada mata wang negara.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Chin Chee Seong berkata, penurunan nilai ringgit akan meninggikan harga barang import, merangkumi bahan mentah dan produk perantara.
Akibatnya, ia boleh membawa kepada peningkatan kos pengeluaran bagi perniagaan yang mungkin memberi kesan kepada keuntungan keseluruhan mereka.
Selain itu, katanya, penurunan nilai ringgit menyumbang kepada inflasi kerana kos yang meningkat berkaitan produk import termasuk tenaga dan produk makanan.
“Malaysia, sebagai negara import bersih bagi pelbagai produk makanan penting seperti daging (daging lembu, kambing, ayam), buah-buahan, sayur-sayuran, kopi, teh, makanan laut, dan gula, berhadapan dengan potensi kenaikan harga pengguna.
“Kesan seperti ini boleh mengurangkan kuasa beli rakyat Malaysia dan mungkin mempengaruhi kualiti hidup mereka secara keseluruhan.
“Impaknya kepada PMKS pula adalah pelbagai. Walaupun ia boleh membawa kepada peningkatan kos import dan cabaran kewangan, ia juga boleh meluaskan peluang eksport dan potensi pertumbuhan,” katanya.
Jelasnya, memandangkan kebanyakan PMKS mengimport lebih banyak barangan, mereka pasti akan terjejas dengan peningkatan kos barangan dan pengeluaran.
Chin Chee berkata, PMKS kebanyakannya dikendalikan dalam pasaran domestik dan tidak terlalu terlibat dalam pengeksportan.
Justeru, katanya, mereka akan menghadapi cabaran dalam mengekalkan margin keuntungan.
“Peningkatan kos boleh menyebabkan kenaikan harga jualan yang disalurkan kepada pengguna. (Jumlah eksport tahunan PKS hanya sekitar 12 peratus daripada jumlah eksport Malaysia)
“Tahap kesan ini bergantung pada pelbagai faktor termasuk industri tertentu, amalan perniagaan dan tindak balas kerajaan terhadap turun naik mata wang,” katanya. – UTUSAN










