KUALA LUMPUR: Kira-kira separuh daripada 32 juta rakyat dari negara ini menghadapi masalah berat berlebihan atau obesiti yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan mereka.
Berdasarkan Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia (NHMS), 50.1 peratus rakyat negara ini berhadapan masalah tersebut dan jumlah itu dijangka terus meningkat.
Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Prof. Dr. Geeta Appannah berkata, kumpulan umur dari 35 sehingga 39 tahun adalah kumpulan yang paling tinggi mempunyai masalah obesiti iaitu 25.3 peratus diikuti dengan golongan berumur 40 hingga 44 tahun (24.4 peratus).
“Kadar obesiti dilaporkan dalam semua golongan umur. Walaubagaimanapun, dewasa yang berumur di antara 30 sehingga 74 tahun dilihat sebagai golongan yang paling banyak terkesan di Malaysia.
“Ini adalah kerana, jikalau seseorang itu mempunyai masalah berlebihan berat badan atau obesiti sejak usia yang muda, ia akan berlarutan sehingga mereka agak berusia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut portal MyHEALTH Kementerian Kesihatan (KKM), obesitI merupakan suatu penyakit yang kompleks kerana terdapatnya pengumpulan lemak berlebihan pada tubuh dan menyebabkan seseorang itu mengalami berat badan berlebihan.
Bagi mereka yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) dari 23 sehingga melebihi 40 diklasifikasikan sebagai pre-obes, obes-I, obes-II dan obes-III.
Obesiti dilihat sebagi penyebab yang mampu membawa kepada risiko kesihatan bagi seseorang individu iaitu seperti kencing manis, penyakit hati berlemak, sindrom metabolic, masalah tidur, kesukaran untuk bernafas, strok, penyakit jantung koronari, lemah jantung, darah tinggi, gout dan sakit sendi.
Dr. Geeta berkata, obesiti juga mampu menyebabkan seseorang itu mendapat penyakit kanser, jadi langkah pencegahan perlu dilakukan bagi mengelak sebarang kemungkinan risiko kesihatan.
“Kanak-kanak yang obes pula akan mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit ini pada usia yang awal. Peningkatan obesiti serta penyakit-penyakit ini akan meningkatkan kos rawatan di hospital.
“Oleh kerana kerajaan memberi subsidi yang tinggi untuk kos rawatan di hospital, ini akan menyebabkan kerajaan terpaksa mengagihkan bajet yang tinggi untuk menampung kos rawatan ini.
“Jikalau kita dapat mengurangkan kos rawatan ini, bajet ini boleh disalurkan kepada inisiatif-inisiatif lain seperti menambahbaik kemudahan di sekolah dan universiti serta memperbetulkan keselamatan rakyat di jalan raya dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengutamakan polisi yang dapat membantu mencegah masalah obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Polisi-polisi ini perlu dikaji dari semasa ke semasa agar keberkesanannya terjamin. Selain itu, polisi terlibat juga perlukan kerjasama daripada pelbagai badan supaya ia lebih komprehensif dari pelbagai sudut dan lapisan umur, masyarakat dan mengambil kira faktor-faktor halangan untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat,” ujarnya.
Sementara itu, Dr. Geeta berkata, ketidakseimbangan dalam pengambilan dan penggunaan tenaga adalah faktor utama yang menyebabkan obesiti.
“Oleh yang demikian, adalah dinasihatkan supaya pengambilan tenaga adalah mengikut saranan harian dan penggunaan tenaga juga perlu dibuat. Aktiviti fizikal selama 60 minit setiap hari akan membantu penggunaan tenaga dan sejurusnya akan mengurangkan masalah obesiti. Pengambilan tenaga yang tinggi setiap hari juga perlulah dielakkan.
“Ini boleh dicapai dengan tidak mengambil makanan tinggi kalori seperti makanan yang telah diproses, makanan tinggi gula dan lemak dan minuman yang sangat manis. Pengambilan makanan yang berkhasiat seperti sayuran, buah-buahan, ‘whole grains’, kekacang dan daging yang mempunyai lemak yang kurang boleh membantu mengurangkan masalah obesiti.
“Selain itu, tidur yang secukupnya dan pengurangan stress juga akan membantu menghindari masalah obesiti,” jelasnya.
Ketika ditanya sama ada sistem pendidikan negara gagal memupuk amalan pemakanan yang sihat di peringkat sekolah menyebabkan kurangnya kesedaran sehingga peratusan obesiti meningkat, Dr. Geeta berpendapat, masalah tersebut disebabkan pelbagai faktor dan ia di luar bidang kuasa pihak sekolah.
Namun, beliau setuju bahawa pendidikan mengenai cara pemakanan sihat di peringkat sekolah diperbanyakkan dan dijalankan secara berkala.
“Ini adalah untuk memastikan mesej pemakanan sihat diterapkan secara konsisten. Intervensi yang komprehensif memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk daripada beberapa kementerian, badan swasta dan pemegang taruh yang lain.
“Intervensi yang komprehensif ini bukan sahaja akan mencegah masalah obesiti dalam kalangan pelajar tetapi ia akan membantu dalam menerapkan amalan gaya hidup yang sihat sepanjang masa,” katanya. – UTUSAN










