Hadi dakwa kerajaan amal double standard

Hadi dakwa kerajaan amal double standard

ABDUL Hadi Awang menyampaikan ucapan dasar perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Shah Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pas mendakwa Kerajaan Perpaduan mengamalkan double standard terhadap kerajaan negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia terbukti daripada sikap Kerajaan Perpa­duan terhadap kerajaan negeri-negeri ditadbir Pas-PN.

“Kerajaan pada hari ini bersifat double standard sehingga melanggar prinsip demokrasi dan Islam yang masih dikepung serta dipenjara semata-mata kerana ingin meneruskan agenda penjajah.”

“Kerajaan juga melanggar prinsip perlembagaan sehingga merempuh konsep federalisme dan perjanjian dimeterai selain melanggar sumpah yang diikrarkan.
“Sikapnya terhadap kerajaan negeri yang diperintah oleh Pas-PN menjadi bukti yang nyata.

“Keadaan ini terjadi kerana kerajaan yang didakwa sebagai Kerajaan Perpaduan dibentuk daripada kalangan mereka yang bermasalah dan mahu menyelamatkan diri masing-masing.

“Mereka terdiri daripada man­tan banduan, kluster mah­kamah dan bakal yang hendak diselamatkan secara tidak bermoral dan tidak bermaruah,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, semalam.

Terdahulu, Abdul Hadi berkata, Pas meletakkan jaminan kepada rakyat bahawa perjuangan parti itu di peringkat Persekutuan dan kerajaan ne­geri berlandaskan konsep pemerintahan adil, prihatin dan berkebajikan.

Sementara itu, Abdul Hadi mengakui kelemahan parti itu menarik sokongan pengundi bukan Islam walaupun berjaya menambah bilangan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Aspek kelemahan antara menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bilangan gabungan kerusi yang belum mencukupi untuk membentuk kerajaan walaupun berlaku peningkatan mendadak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×