Sah! UMNO hantar surat tamat kerjasama dengan Bersatu - Utusan Malaysia

Sah! UMNO hantar surat tamat kerjasama dengan Bersatu

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Teka-teki kerjasama antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terjawab apabila parti itu secara rasminya menghantar surat menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

Menurut sumber, surat tersebut dihantar pada 26 Februari lalu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun tiada sebarang respon sehingga semalam.

“Surat tersebut dihantar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Janda Baik, Pahang, baru-baru ini.

“Bila keputusan dah dibuat, jadi kita hantar surat secara rasmi kepada Tan Sri Muhyiddin tentang perkara yang diputuskan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Di dalam surat tersebut, jelas sumber lagi, terkandung mengenai sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sahaja.

UMNO kemudian akan bertanding sendiri di bawah tiket Barisan Nasional (BN) bersama parti komponennya iaitu MIC dan MCA.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa MT UMNO sebulat suara menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

Ia mendapat sokongan penuh daripada kesemua ahli MT UMNO yang hadir mesyuarat di Janda Baik berkenaan.

Dalam mesyuarat yang berlangsung selama empat jam itu, pandangan dari kesemua ahli MT diambil kira dengan meletakkan hala tuju UMNO pada PRU-15 sebagai keutamaan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, langkah UMNO diterajui Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak bersama PN pada PRU-15 hanya mengundang padah kepada masyarakat Melayu di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, langkah itu menyebabkan undi kaum berkenaan berpecah dan menguntungkan Pakatan Harapan (PH).

“Ahmad Zahid selaku pemimpin UMNO perlu nampak perkara ini atau beliau akan dilihat sengaja membiarkan undi Melayu pecah dan akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Lim Guan Eng meyakini PH mempunyai peluang cerah mentadbir semula kerajaan jika gabungan parti itu memperoleh sokongan tambahan 15 peratus pengundi Melayu daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU-15. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×