PUTRAJAYA: Perbuatan kecuaian ibu bapa dalam aspek keselamatan anak-anak wajar dihukum jika benar terbukti ada unsur-unsur kecuaian dalam mana-mana kes melibatkan apa jua kemalangan dan pengabaian golongan itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Kanak-kanak, Dr. Farah Nini Dusuki berkata, undang-undang berkaitan perlu dikuatkuasakan secara tegas bagi mengelak kejadian sama berulang dan boleh memberi pengajaran kepada ibu bapa lain demi melindungi hal dan kebajikan kanak-kanak.
Beliau berkata, antara bentuk kecuaian yang jelas boleh dibuktikan kesalahan ialah tidak menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) sehingga berlaku kemalangan atau kanak-kanak tercampak keluar dari kenderaan sekiranya ibu bapa mengabaikan pemasangan CRS.
“Undang-undang pemakaian CRS diwartakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Akta Pengangkutan Jalan 1978 – Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar)(Pindaan) 2019.
“Kes seumpana ini memang patut diambil tindakan dan pihak berkuasa perlu lebih agresif memastikan undang-undang itu dikuatkuasakan,” katanya di sini semalam.
Farah Nini berkata, Akta Kanak-Kanak 2001 pindaan 2016 di bawah Seksyen 31 memperuntukkan mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak yang menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu atau bertindak secara cuai adalah suatu kesalahan.
JIka sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua–duanya.
“Begitu juga kes meninggalkan anak seorang diri di rumah tanpa pengawasan atau berlaku kejadian kemalangan melibatkan eskalator di pusat beli-belah, juga menjadi kesalahan dan wajar dikenakan tindakan supaya menjadi pengajaran ibu bapa lain.
“Jika di luar negara, tak perlu tunggu kes kecuaian, pukul anak (secara agresif) pun kena tindakan walaupun pukul itu untuk tujuan mendisiplinkan anak tetapi dianggap memudaratkan anak,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, kes kecuaian anak tertinggal dalam kereta pula perlu dibuktikan benar-benar berlaku kecuaian itu yang mungkin tergolong dalam Sindrom Terlupa Anak (Forgotten Baby Syndrome).
Katanya, perkara ini adalah berpunca perubahan ataupun gangguan pada rutin seharian ibu bapa terbabit dan jika berlaku kes berkenaan, maka pendakwa raya mesti mengesahkan kewujudan komponen niat untuk melakukan kesalahan.
“Dalam kes seumpama ini amat sukar nak buktikan kecuaian kerana garis pemisah antara kemalangan dan kecuaian sangat samar.
“Justeru perlu ada tindakan pencegahan bagi mengelak kes kecuaian ini seperti pusat jagaan perlu bertanggungjawab menghubungi ibu bapa jika anak mereka tidak dihantar pada hari tersebut sebagaimana diamalkan di negara luar.
“Ibu bapa sendiri juga perlu mengambil tindakan sama seperti meletak barang-barang di sebelah tempat duduk kenderaan untuk mengingatkannya supaya anak tidak tertinggal,” katanya.
Menyokong pandangan sama, Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, wujud ‘garis nipis’ antara kecuaian dengan kemalangan yang menyebabkan sukar untuk diambil tindakan.
Dalam hal ini beliau melihat, kes kecuaian banyak diambil tindakan jika melibatkan pengasuh atau pusat jagaan kanak-kanak, tetapi sekiranya kes itu dilakukan ibu bapa sendiri, pendakwaan seolah-olah ‘tidak sampai hati’ untuk dihukum terhadap ibu bapa.
Namun, katanya, hukuman paling berat bagi ibu bapa ialah kehilangan anaknya akibat kecuaian sendiri dan sebagai ibu yang ‘terlupa’, dia tidak akan dapat memaafkan dirinya atas apa yang berlaku.
“Kita simpati dengannya tetapi kenapa kita tak hukum dia kerana jika yang lupa itu pembantu rumah atau penjaga anak, kita mahu dia didakwa.
“Ini perlu dilihat dengan jelas, patutkah dihukum oleh kerana dia lupa atau kerana lupa itu sebahagian sifat manusia, maka dibiarkan begitu sahaja? Kebanyakan kes dilakukan tidak diambil tindakan dan menganggap sebagai kematian mengejut,” katanya.
Justeru, katanya, adalah wajar kempen kesedaran sentiasa dilakukan dan setiap orang yang memiliki anak-anak hendaklah berhati-hati dan saling mengingatkan kerana anak adalah amanah dan menjadi kewajipan untuk dijaga selamat. – UTUSAN










