Lompat parti tidak layak wakili rakyat - Utusan Malaysia

Lompat parti tidak layak wakili rakyat

MASHITAH MOHD. UDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Ahli-ahli politik perlu kembali kepada politik berprinsip dengan perlu mengelak daripada budaya lompat parti yang disifatkan tidak baik dari segi moral dan demokrasi selain langsung tidak layak digelar pejuang yang kononnya demi kepentingan rakyat dan negara.

Pada masa sama, budaya lompat parti itu juga akan mewujudkan pembentukan sesebuah kerajaan yang tidak stabil seperti kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Malah, bagi pemimpin politik yang mendakwa tindakan tersebut adalah demi kepentingan negara atau untuk mengatasi kemelut politik, itu adalah retorik politik semata-mata.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr. Mashitah Mohd. Udin berkata, meskipun perbuatan lompat parti tidak salah dari segi undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan atau negeri, tetapi dari sudut moral dan demokrasi, ia dilihat sangat tidak sihat.

Katanya, sememangnya terdapat usaha mewujudkan Akta Anti Lompat Parti namun sehingga kini masih tidak berlaku dengan pihak pemerintah dan pembangkang dilihat terus mendiamkan diri.

“Faktor-faktor berlakunya lompat parti ini antaranya adalah disebabkan perebutan kuasa dalam parti, perbuatan khianat dan tidak setia kepada pimpinan, moral pemimpin yang rendah, tidak ada disiplin, tidak ada integriti, menganggap politik sebagai barang belian dan jualan selain tidak komited dengan ideologi dan perjuangan parti malah tamak dan rakus untuk naik dengan cepat.

“Lazimnya mereka yang terlibat dalam lompat parti ini dipengaruhi oleh pihak daripada parti lawan dengan tawaran jawatan, kedudukan serta wang ringgit yang lumayan.

“Apakah ertinya semua gejala ini? Perbuatan ini tentunya merosakkan demokrasi itu sendiri, di mana wakil rakyat yang melompat parti itu telah melacurkan prinsip partinya sendiri dan rakyat ditipu setelah mereka diberi kepercayaan dalam pilihan raya. Sepatutnya, mereka yang melompat parti ini tidak layak pun mewakili rakyat,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, isu lompat parti dalam kalangan wakil rakyat terus mencetuskan kekecewaan dan kemarahan rakyat khususnya pengundi termasuk pemimpin parti yang menyifatkan tindakan itu sebagai ‘tidak bermoral’.

Selain menghakis amalan demokrasi, tindakan tersebut secara tak langsung dikaitkan dengan persepsi habuan duit dan pangkat sebagai ‘hadiah’ kepada yang melompat parti.

Tambah Mashitah, lompat parti secara besar-besaran ini dilihat bermula ketika langkah Sheraton dan selepas PN mengambil alih kerajaan, lompat parti itu berlaku di negeri- negeri sehingga berjaya membentuk kerajaan seterusnya berterusan sehingga kini.

Katanya, budaya lompat parti ini dilihat menghantui semua parti-parti politik kecuali Pas yang masih tidak kelihatan pemimpin-pemimpin mereka bertindak demikian.

“Tentunya juga ahli parti akar umbi kecewa dengan perbuatan wakil mereka yang lompat ke parti lawan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×