PASIR SALAK: ‘Ini RM20 terakhir yang abang minta dari Ma, lepas ini tak ada dah.’
Itu antara kata-kata terakhir yang masih terngiang-ngiang di telinga Siti Sarina Huri, 34, sebelum suaminya Mohamad Afandy Mamosati, 34, ditemukan terapung di muara Sungai Perak di sini, kelmarin.
Mohamad Afandy dan sepupunya Mohd. Amirul Azril Mohd. Shafiee, 34, ditemukan terapung di muara Sungai Perak, dekat Kayan selepas bot yang mereka naiki dipercayai dipukul arus deras.
Siti Sarina yang dipanggi Ma oleh suaminya berkata, Mohamad Afandy keluar rumah menaiki kereta pada tengah hari Ahad lalu untuk ke Jeti Kota Setia bagi membawa sebuah bot untuk diperbaiki.
Katanya, sebelum bergerak ke jeti, suaminya meminta wang untuk mengisi minyak kereta kerana suaminya belum bekerja selepas terlibat membina Jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop yang kini dikenali Jambatan Sultan Nazin Shah.
“Pada masa itu saya tak fikir apa-apa, sehinggalah pak cik saya menghubungi saya memberitahu bot suami dan sepupunya dijumpai oleh nelayan di sungai, tapi kedua-duanya tiada.
“Ketika dijumpai, bot berkenaan berpusing-pusing sehingga enjinnya habis minyak. Saya membuat laporan polis dan gerakan mencari mereka dijalankan sehinggalah mayat mereka dijumpai semalam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Mangkuk di sini, semalam.
Siti Sarina berkata, arwah suaminya merupakan antara pekerja yang terlibat dalam pembinaan Jambatan Sultan Nazrin Shah dan bekerja selama empat tahun sehingga siap dan dirasmikan baru-baru ini.
Menurutnya, suaminya ada bercerita mengenai pengalamannya membina jambatan tersebut dan bangga kerana menjadi antara pekerja yang terlibat dengan projek itu.
Katanya, selepas jambatan itu siap, suaminya mencari kerja lain dan baru berjinak-jinak untuk menjadi nelayan namun hasrat tersebut tidak kesampaian.
Sementara itu, jenazah dua sepupu itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sejagop di sini petang semalam.-UTUSAN










